SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Monday, June 17, 2013

Mahkamah: Keputusan kekal terhadap Kayveas, isteri

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menolak rayuan peguam Datuk Seri M.Kayveas dan isterinya, Datin Blanche O ‘Leary, bagi mengetepikan keputusan Lembaga Disiplin Peguambela dan Peguamcara yang mendenda mereka setiap seorang RM5,000 kerana salah laku.




Panel lima anggota diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria sebulat suara menolak rayuan pasangan itu dan mengekalkan keputusan lembaga disiplin berkenaan.



Pelanggaran aku janji dan pegangan kepentingan oleh perayu (Kayveas dan Datin Blanche O’Leary) jelas dilakukan dalam kapasiti profesional mereka yang terjumlah kepada perlakuan tidak senonoh yang amat serius,” kata Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Jeffrey Tan Kok Wha, yang membacakan penghakiman panel itu.





Beliau berkata apa yang pasti, Kayveas dan Blanche, yang merupakan rakan kongsi firma guaman Tetuan Blanche Kayveas & Co, bersalah atas pertuduhan salah laku mengikut Seksyen 94(3) Akta Profesion Undang-Undang 1976.





Kayveas, yang juga Presiden Parti Progresif Rakyat serta bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan isterinya, Datin Blanche O’Leary, Pesuruhjaya Tinggi ke Papua New Guinea, didakwa melanggar terma penjaminan sebagai pemegang kepentingan dalam transaksi jual beli hartanah bernilai RM2 juta antara dua syarikat.





Panel itu turut dianggotai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Ahmad Maarop dan Datuk Hasan Lah.





Dalam penghakiman itu, Kok Wha tidak bersetuju dengan hujah Kayveas bahawa beliau tidak bersubahat dalam pelanggaran perjanjian berkenaan kerana tidak ada bukti yang menunjukkan perkara sebaliknya.



Dalam sesuatu perkongsian, satu aku janji oleh seorang rakan kongsi akan mengikat yang lain. Seorang rakan kongsi kekal bertanggungjawab terhadap aku janji yang diberi ketika beliau menjadi rakan kongsi meskipun selepas beliau meninggalkan firma itu atau firma berkenaan dibubarkan.”





“Aduan Majlis Peguam adalah terhadap rakan kongsi Tetuan Blanche Kayveas & Co,” katanya sambil menambah hujah ‘tidak bersalah’ adalah pembelaan munasabah bagi salah laku.





Kok Wha juga berkata tidak dapat dipertikaikan lagi bahawa seorang pemegang kepentingan adalah pemegang amanah dan pelanggaran terma itu bukan sekadar melanggar aku janji tetapi juga satu perbuatan pecah amanah.





Beliau berkata kegagalan menghormati sesuatu aku janji adalah bukti prima facie salah laku profesional.





Kayveas dan Blanche diperintah oleh lembaga disiplin pada 17 Mac 2005 membayar penalti kepada tabung disiplin.





Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka pada 12 Dis 2011.


Terdahulu, pasangan itu berhujah, antara lain, Mahkamah Rayuan gagal mempertimbang bahawa tidak ada unsur ketidakjujuran di pihak mereka.






Kayveas, yang bertanding di Dewan Undangan Pasir Bedamar, Perak pada pilihan raya umum ke-13, kalah kepada calon DAP V.R.Terence Naidu dengan majoriti 13,037 undi.