Rancangan jahat Peguam Negara Tan Sri Abd Gani Patail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan nampaknya tidak dapat dibendung apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam permohonan untuk menggugurkan pertuduhan liwat yang dikemukakan terhadapnya di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Mahkamah menetapkan 25 Januari hingga 25 Februari depan untuk perbicaraan.
Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan , 23, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lalu.
Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000.
Ramai para peguam menyifatkan keputusan mahkamah hari ini jelas merupakan satu episod malang di dalam institusi kehakiman kerana pihak defenden sebenarnya telah berjaya untuk membuktikan wujudnya keraguan yang menasabah sedangkan pihak pendakwa pula gagal untuk membuktikan sebarang asas yang kukuh bagi mengesahkan wujudnya kes liwat seperti yang dituduhkan.
Dalam pada itu Anwar menyatakan rasa kesal dengan tindakan hakim menetapkan tarikh perbicaraan walaupun permohonannya mendapatkan bahan bukti untuk menyiapkan pembelaan beliau masih belum diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Hakim telah menetapkan perbicaraan dengan membelakangkan sama sekali rayuan kami bersabit perkara ini,” Anwar memberitahu pemberita.
“Beliau seharusnya menghormati keputusan yang dibuat sendiri untuk memberikan kami dokumen berkenaan dan memberi masa kepada Mahkamah Persekutuan memutuskan perkara ini,” tambah Anwar.
Mohd Zabidin sebelum ini meluluskan permohonan Anwar untuk mendapatkan dokumen tertentu daripada pendakwaraya selaras dengan peruntukan undang-undang.
Bagaimanapun keputusan itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan kini dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan.
Terdahulu, Mahkamah tinggi pagi tadi menolak permohonan Anwar untuk menggugurkan pendakwaan liwat yang dihadapi beliau.
Anwar berkata, keputusan tersebut menjadikan kes berkenaan sebagai kes pertama dalam sejarah kehakiman yang menyaksikan mahkamah menyebelahi pendakwaan seks dan mengenepikan bukti-bukti perubatan.
“Ini adalah kes yang pertama dalam sejarah di mana mahkamah menyebelahi pendakwaan seks dan mengenepikan bukti-bukti perubatan yang menunjukan tiada kesan liwat," katanya.
GB
No comments:
Post a Comment