SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Friday, June 3, 2011

Scorpene: Najib perlu jawap lawatan Macau


Datuk Seri Najib Razak perlu menjelaskan mengapa Kementerian Pertahanan yang di bawah pimpinannya didakwa berurusan dengan seorang warga Perancis yang terpalit dengan rasuah ketika menguruskan pembelian kapal selam pada tahun 1994, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Tian berkata Jean-Marie Bovin menubuhkan sebuah syarikat berpangkalan di Malta, bernama Gifen untuk membiayai perjalanan penasihat Najib, Abdul Razak Baginda, warga Mongolia Altantuya Shaariibuu dan seorang lagi yang tidak dikenali.

"Pada tahun 2002, kita tahu ada tiga individu yang dibiayai oleh syarikat Malta (Gifen) dari KL ke Macau. Sekali lagi satu kemusykilan wujud mengapa rundingan membeli kapal selam perlu pergi ke Macau," kata Tian kepada wartawan, semalam.

Bovin didakwa terbabit dalam skandal pembelian kapal selam oleh Pakistan daripada Perancis yang turut melibatkan pembayaran komisyen lumayan kepada pihak tertentu pada sekitar tahun 90an.

Menurut Tian, syarikat Gifen berpangkalan di Malta, dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Pertahanan yang ketika itu diketuai oleh Najib mengarahkan pembiayaan perjalanan Abdul Razak, mendiang Altantuya dan individu ketiga yang masih belum dikenalpasti.

Tian berkata soalan itu perlu dijawab oleh Najib sendiri selaku Menteri Pertahanan ketika itu dan bukannya menteri sekarang, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Zahid sebelum ini menawar diri untuk memberi keterangan kepada badan kehakiman Perancis yang bersetuju untuk menyiasat unsur rasuah dalam pembelian kapal selam oleh Malaysia.

"Saya tidak rasa (Datuk Seri) Zahid Hamidi mengetahui perkara ini, maka hanya bekas Menteri Pertahanan (Najib) yang boleh jelaskan sebab arahan pembayaran dan identiti (tiga) individu datang daripada Kementerian Pertahanan dan mereka hanya membuat bayaran lawatan tersebut," kata Tian.

Skandal kapal selam itu berpaksi kepada pembunuhan warga Mongolia dan kekasih Abdul Razak, Altantuya Shaariibuu serta pembayaran komisyen sejumlah RM534 juta dibayar kepada syarikat Perimekar Sdn Bhd, yang dikuasai oleh Abdul Razak dan isterinya, Mazlinda Makhzan.

Antara ahli lembaga pengarah Perimekar ialah Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

"Isunya sekarang mengapa bayar kepada Perimekar di mana kami dapat tahu tiada sesiapa dalam syarikat itu mempunyai kepakaran dalam undang-udang Eropah," kata Tian.

NGO hak asasai manusia, Suaram melantik dua peguam Perancis untuk menfailkan permohonan supaya kes itu disiasat setelah kerajaan Malaysia dilaporkan cuba melindungi amalan rasuah itu, walaupun setelah Altantuya mati dibom pada tahun 2006.

Tian berkata Najib harus mengarahkan Jabatan Imigresen membuat semakan ke atas identiti individu ketiga yang menyertai Altantuya dan Abdul Razak berhubung lawatan mereka ke Macau pada tahun 2002.

Najib sebelum ini bersumpah beliau tidak mengenali Altantuya sungguhpun dakwaan itu dinafikan oleh penyiasat persendirian, P Balasubramaniam.

"Juga untuk keadilan keluarga Altantuya, kita patut korek kerana perbiacaraan pembunuhan kejam itu, maklumat ini tidak pernah diketengahkan," kata Tian.

Tian juga mendesak agar kerajaan memberikan nilai kontrak sebenar pembelian dua kapal selam Scorpene dari Perancis itu kerana berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi, kos itu melebihi RM1.3 bilion.

mkini

No comments: