Perdana Menteri Najib Razak telah membelanjakan sejumlah RM64 juta untuk memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.
Meskipun begitu UMNO Barisan Nasional sekadar menang tipis dengan 1725 undi sahaja.
Lebih dari itu Barisan Nasional kehilangan 2 kerusi Dewan Undangan Negeri, Kuala Kubu Baru dan Batang Kali.
Bekas Menteri Undang- undang Datuk Zaid Ibrahim berkata Pakatan Rakyat tidak redha dengan kemenangan UMNO Barisan Nasional yang diraih dengan cara kotor dan dipalit rasuah.
“Perdana Menteri Najib Razak belanja lebih daripada RM64 juta untuk menang pilihan raya kali ini. Kita berdepan dengan keadaan dimana pembelian undi berleluasa,“ kata Zaid.
Beliau juga kesal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menutup mata, enggan mengambil sebarang tindakan terhadap rasuah undi yang disuakan kepada pengundi parlimen itu.
“Kita tewas kerana amalan membeli undi itu halal dinegara kita. Jika kita tidak atasi masalah ini, kita akan berdepan dengan masalah besar dimasa- masa akan datang,” ujarnya lagi. -TVS
P'raya Hulu S'gor: BN menang, MCA tewas
"Perubahan" dalaman yang ditegaskan kembali oleh BN dalam pilihan raya Hulu Selangor sepanjang tempoh berkempen sepanjang minggu lalu perlu bermula dengan mengenalpasti kelemahan ketara MCA.
Walaupun pada permulaan kempen, BN bergelut dengan masalah dalaman MIC ekoran pemilihan calon kompromi P Kamalanathan, tetapi kemerosotan undi Cina kepada BN sebenarnya menggambarkan kerapuhan semangat dalam MCA.
Keputusan pilihan raya kecil semalam memihak kepada BN.
Pengerusinya Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kemenangan itu sebagai peralihan sokongan masyarakat kembali kepada BN.
Namun BN masih di belakang dalam usaha mendapatkan sokongan daripada kaum Cina, sedangkan golongan India dan Melayu sudah mula beralih sokongan kepada parti itu bagi pilihan raya kecil semalam.
Najib melihat keputusan dengan kelebihan 1,725 undi berbanding 23,272 undi yang diraih calon PKR sebagai pencapaian signifikan kerana pertandingan berlangsung dalam negeri Pakatan Rakyat.
Pilihan raya semalam turut menyaksikan BN kehilangan 30 peratus sokongan masyarakat Cina berbanding pencapaian mereka dalam pilihan raya umum dua tahun lalu.
Beliau juga mengaitkan keputusan itu dengan usaha perubahan yang dilakukan BN, seperti yang diuar-uarkan sepanjang kempen pilihan raya berlangsung.
Kamalanathan anak kampung
Sepanjang lapan hari tempoh berkempen, banyak poster bertulis "BN mampu berubah" dikesan di serata tempat - dilihat bertujuan mengembalikan kepercayaan pengundi.
BN sebelum ini ditolak oleh pengundi dalam pemilihan Mac 2008, antaranya kerana sikap 'angkuh' yang ditunjukkan parti pemerintah itu. Kali ini mereka cuba kembali ke gelanggang Hulu Selangor dengan rendah hati.
Ia cuba menonjolkan kepada pengundi bahawa parti itu "mampu berubah" dan cuba mendekati rakyat Hulu Selangor dengan kelebihan sumbernya.
Imej Kamalanathan juga cuba dipotretkan sebagai anak kampung, berbanding perwatakan 'urban dan liberal' calon PKR Datuk Zaid Ibrahim.
Jika janji-janji pembangunan - yang didakwa melebihi RM 64 juta - lanskap Hulu Selangor mungkin akan berubah sepenuhnya. Imbuhan-imbuhan tersebut tidak dinafikan mampu memikat sebahagian pengundi, terumanya golongan Melayu.
Kerja keras BN apabila Najib sebagai presiden Umno sendiri turun sejurus selepas sahaja pulang daripada luar negara juga menunjukkan kesungguhannya.
Umpama ayam tiada kepala
Malah, Najib masih berada di Hulu Selangor bagi bertemu dengan masyarakat Cina melalui lawatan rumah ke rumah, di hari terakhir kempen kelmarin.
Kelmarin juga, dalam perbualan tidak formalnya dengan Malaysiakini di pusat media, Najib sejak awal lagi memberitahu, masyarakat Cina tidak banyak memberikan undi kepada BN disebabkan masalah dalaman regu utama MCA.
Seorang pemimpin tempatan Datuk Zainal Abidin Sakom pula berpendapat pertikaian di kalangan pucuk pimpinan parti Cina itu - yang lama berlarutan - menimbulkan masalah penyelarasan jentera sokongan kepada BN.
"(Jentera) mereka seolah-oleh seperti ayam tak ada kepala," katanya kepada Malaysiakini ketika ditanya mengenai prestasi jentera MCA.
Zainal yang juga bekas Adun Batang Kali bagaimanapun akur, proses pemulihan MCA akan mengambil tempoh yang lebih lama sebelum dapat dinilai sepenuhnya.
"Pemilihan (MCA) pun baru lagi, baru sangat lagi," tambahnya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan di Dewan Serbaguna Kuala Kubu Baharu malam semalam.
Senario ini juga diakui presiden MCA sendiri Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang membayangkan bahawa masyarakat Cina lebih memandang kepada faktor kepemimpinan, berbanding soal kehendak dan keperluan asas mereka sendiri. -mk
No comments:
Post a Comment