KUALA LUMPUR: Pembohongan Ahli Perniagaan,Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengenai rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.
Beliau diminta mengulas kenyataan Eskay semalam yang menafikan menuduh Anwar melakukan zina, ketika ditanya wartawan selepas memberi keterangan di Balai Polis Kepong berhubung sumpah laknat yang dibuatnya minggu lalu.
“Orang seperti Eskay, lama kelamaan kredibiliti akan terserlah dengan kebohongan. Ceritanya tidak konsisten. Kita boleh senaraikan daripada awal. Mula-mula kata tempat (kejadian seks) berlaku di hotel, kemudian di spa dan apartment di Ampang.
“Selain itu, perkara asas dia berbohong pasal jam (Omega) yang dikata dicuri tetapi dalam video jelas ia tidak dicuri dan tidak wujud pula. Pada awal dia kata jam itu adalah bukti yang kuat tetapi kemudian kata tidak ada kena mengena pula.
“Ini salah satu dari rentetan penipuan, kita boleh masukkan senarai-senarai baru. Malah sumpah laknat yang dibuatnya juga satu penipuan. Seperti pepatah Inggeris, orang yang berbohong dengan satu pembohongan akan terus berbohong untuk menutup pembohongan lain yang dilakukannya,” ujar Rafizi kepada Keadilandaily.com.
Rafizi dalam pada itu turut ditanya mengenai ugutan Eskay, kononnya akan mendedahkan ‘perkara baru’ mengenai Anwar.
Menurut Rafizi, sejak dari awal tuduhan yang dibuat Eskay terhadap Ketua Umum KEADILAN itu tidak memberi sebarang kesan kepada KEADILAN, kerana rakyat tidak mempercayai fitnah yang dilemparkan.
“Ia tidak memberi kesan kepada kita, fokus kita jadi kerajaan dan memenuhi kehendak rakyat yang bersabit tentang menjaga kebajikan rakyat.
“Di pihak KEADILAN, ini perkara biasa apabila kita dilontar fitnah demi fitnah. Tetapi kita tumpu hal ehwal pentadbiran negara dan membanteras rasuah.
“Mereka cipta fitnah baru, kita dah lali. Rakyat sudah muak dan tidak teruja lagi dengan cerita mereka, akhirnya ia makan diri,” ujar beliau yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kenyataan terbaru Eskay itu juga menunjukkannya semakin gelabah dan mula mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri dari tuduhan yang dibuatnya sebelum ini.
“Mungkin dia takut dikenakan tuduhan qazaf. Tetapi kita akan teruskan dan pastikan dia dikenakan tuduhan qazaf di mahkamah syariah.
” Dia mula cari jalan untuk keluar dari tuduhan menuduh Datuk Seri Anwar berzina,” katanya.
Semalam, Eskay menafikan menuduh Anwar melakukan zina, sebaliknya menyerahkan beban dakwaan itu kepada wartawan yang menonton video itu di Hotel Seri Carcosa Negara pada 21 Mac lalu.
“Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya,”
“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” katanya kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan itu, lapor Malaysiakini.
Ketika ditanya mengenai jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada pihak polis, Eskay enggan menjawab mengapa jam Omega itu relevan dengan kesnya berikutan rakaman video itu langsung tidak menunjukkan jam tangan berkenaan.
Sebelum ini, terdapat percanggahan keterangan yang diberikannya dan kenyataan yang dibuat polis. Eskay mendakwa kejadian seks itu berlaku di sebuah hotel melibatkan seorang pelacur warganegara China.
Manakala polis pula berkata video itu dirakam di sebuah kondominium dan pelaku wanita dalam video itu adalah seorang pelajar di sebuah kolej di ibu negara.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12791
No comments:
Post a Comment