TUAN HAKIM YANG MULIA
Mahkamah Malaysia telah membuat keputusan bahawa Anwar Ibrahim wajib menjawab tuduhan yang diajukan oleh Saiful. Pelbagai reaksi telah saya baca. Ada yang berkata mahkamah tidak telus. Ada yang berkata mahkamah dipergunakan. Dan paling lawak datangnya dari beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat sendiri yang menganggap Mahkamah Malaysia telah tidak berlaku adil.
Dari apa yang saya baca saya sini saya melihat jelas ada kejulingan. Ada kejulingan yang amat besar yang sedang dihadapi oleh ramai aktivis politik dalam PKR. Kejulingan ini juga terdapat dikalangan beberapa pimpinan PKR sendiri.
Kejulingan ini muncul hasil dari kegagalan memahami apa itu politik. Kejulingan ini menjadi buta jika gagal memahami hubungan antara politik dan ekonomi. Gagal memahami politikal ekonomi maka gagallah semua pembacaan dan analisa politik terkini.
Kejulingan pandangan politik ini telah juga mempengaruhi orang biasa – orang ramai yang bacaan dan analisa politiknya kurang. Ini menjadi bahaya besar. Bayangkan kalau tuan gurunya juling dan rabun bolehkah anak muridnya mendapat pencerahan.
Oleh itu untuk memahami apa yang berlaku sekarang mari kita kembali memahami salasilah politik Tanah Melayu. Pada satu ketika dahulu Tanah Melayu ini mengamalkan sistem feudal. Kunci dan asas sistem feudal ialah tanah sebagai punca ekonomi yang utama.
Dalam sistem ekonomi feudal semua kekuasan dimiliki oleh Raja dan kaum kerabat Istana. Kaum feudal ini memiliki dan menguasai semua tanah yang menjadi punca ekonomi pada ketika itu. Semua orang Melayu dan Orang Asal pada ketika itu tertaklok dibawah kuasa Raja dan Istana.
Untuk memastikan sistem feudal ini kukuh dan berkuasa – si Raja telah mengupah apa yang kita kenali sebagai panglima dan juak juak istana. Mereka inilah yang menjadi penguat kuasa dalam sistem feudal. Mereka menjadi pemungut cukai dan juga tukang pukul.
Sistem ekonomi feudal Melayu ini diubah oleh penjajah British yang memperkanalkan sistem ekonomi kapitalis. Kapitalisma sebagai sistem ekonomi telah lama berkembang di Barat. Negara-negara kapitalis Barat - Britain, Peranchis, Jerman, Italy, Portugal dan Sepanyol semuanya mencari tanah-tanah jajahan di Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk menambah harta kekayaan negara mereka.
Di Tanah Melayu dengan licik British telah mengubah dari sistem Raja Mutlak kepada sistem Raja Berperlembagaan. Apabila Tanah Melayu dikatakan merdeka pada tahun 1957 dahulu, British telah meninggalkan sistem ekonomi kapitalis dan lembaga-lembaga aparatus yang menjalankan tugas untuk memastikan sistem ekonomi kapitalis ini bertapak dan berkembang maju di Tanah Melayu.
Semenjak tahun 1957 – Tanah Melayu meneruskan sistem ekonomi kapitalis dalam sistem Raja Beperlembagaan. Melalui Perlembaagan Tanah Melayu ini telah diwujudkan Parlimen sebagai lembaga pengubal undang-undang. Di wujudkan Lembaga Kehakiman untuk menjadi pereka dan pentafsir undang-undang. Untuk memastikan undang-undang ini dikuat kuasakan telah didirikan apa yang dipanggil Lembaga Kepolisian. Raja-Raja Melayu terus diwujudkan sebagai Raja Berperlambagan untuk mastikan timbang tara adil kepada warga anak semua bangsa.
Di canangkan keseluruh pelusuk negeri bahawa lembaga-lembaga ini memiliki rujukan sendiri. Lembaga-lembaga ini dikatakan bergerak bebas. Badan-badan ini bergerak sebagai neraca - mengimbang dan mengawal perjalanan tamadun moden. Lembaga-lembaga daulah ini diwujudkan untuk memastikan warga negara anak semua bangsa akan mendapat keadilan.
Tersenyumlah para pembaca sekelian. Ini bukan kerana saya membuat lawak. Sebenarnya apa yang saya tulis diatas adalah sandiwara politik dan perlembagaan yang ditinggalkan oleh British. Pada awal kelihatan lembaga-lembaga ini berfungsi seperti yang dicita-citakan. Tetapi lama kelamaan semuanya lupus.
United Malays National Organisation telah berkuasa lebih dari 50 tahun. Hasilnya lembaga-lembaga ini semua telah pudar dan tidak berfungsi seperti yang dicita-citakan. Semakin lama United Malays National Organisation berkuasa semakin mandul lembaga-lembaga ini
Justeru apabila Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah ianya bukan lagi mahkamah yang di terima oleh Tunku Abdul Rahman dari Bristish. Bangunan Mahkamah di Jalan Duta memang dilihat gah kerana ini adalah projek kroni. Mahkamah ini bukan indah khabar dari rupa tetapi tidak ada khabar dan langsung tidak ada rupa. Ini adalah mahkmah peninggalan Mahathir Muhamad.
Sultan Mansor Shah di zaman Melaka dahulu sekali gus menjadi : mahkamah, menjadi hakim dan menjadi pendakwa. Raja-raja di zaman itu tidak berselindung dan bersandiwara. Hari ini lembaga-lembaga daulah yang kita temui masih berselindung dan bersandiwara. Bersandiwara dengan tujuan untuk menipu orang ramai.
Orang ramai perlu diberitahu bahawa – hakim, polis, mata-mata, mahkamah, menteri – tidak ada hubung kait. Semua badan ini bebas bergerak. Anwar Ibrahim dibicarakan oleh Mahkamah yang bebas dan berwibawa. Siasatan dijalankan oleh polis dengan rapi dan berhemah. Hakim pula adalah seorang insan yang telus, jujur dan boleh dipercayai. Jangan ketawa – ini bukan pendapat saya. Inilah adalah lawak yang selalu kita dengar dalam kes perbicaraan Anwar Ibrahim.
Pada hakikatnya semua lembaga-lembaga daulah yang wujud hari ini – Raja, Mahkamah, Kehakiman, Akhbar, Polis, Mata-Mata – malah apa sahaja – semuanya tunduk dan mengikut arahan United Malays National Organisation. Malah kalau di zaman kesultanan Melayu dahulu, jika Raja Bersiong di Kedah zalim - orang Kedah yang dizalami ini boleh berpindah ke Kelantan. Hari ini tidak mungkin lagi. Kalau Sultan Johor zalim, suka ambil bini orang – rakyat boleh bangun melawan dan membunuh Sultan yang zalim ini. Ini tidak mungkin berlaku hari ini.
Kalau di zaman kesultaan Melaka dahulu yang menjadi penguat kuasa dan pemungut cukai hanyalah panglima dan juak juak Sultan. Hari ini dalam sistem kapitalis moden telah diwujudkan satu jabatan khusus untuk memungut cukai. Manakala untuk pertahanan tak perlu juak dan panglima lagi - telah ada bala tentera yang moden termasuk adanya kapal selam dari Peranchis.
Sebagai penguatkuasa - Lembaga Kepolisian dan mata-mata telah ditubuhkan. Polis dan mata-mata ini sama peranan nya seperti panglima dan juak Istana – menjadi kaki pukul. Apa yang berbeza dari zaman Sultan Mansor Shah ialah hari ini polis memiliki pakaian seragam dan tidak lagi menerima itik, ayam atau beras sebagai rasuah. Polis dan mata-mata hari ini menerima wang tunai.
Amat jelas bahawa semua lembaga-lembaga ini telah menjadi pekakas untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus berkuasa. Lalu timbul persoalan - kenapa dan apa yang mengikat lembaga-lembaga dan sosok yang mewakili lembaga-lembaga ini? Kenapa mereka terus tunduk kepada kuasa United Malays National Organisation?
Bila persoalan ini timbul maka saya ingatkan kembali betapa pentingnya memahami politikal ekonomi. Apa yang mengikat lembaga-lembaga ini dengan United Malay National Organisations ialah kepentingan ekonomi. Polis, soldadu, mata-mata, pegawai kerajaan dan para hakim semuanya makan gaji. Mereka dibayar upah oleh kerajaan. Jelas, ekonomi mereka bergantung kepada kuasa yang ada pada United Malays National Organisation.
Jika telah dapat memahami apa yang saya tulis diatas maka amatlah mudah untuk memahami kes Anwar Ibrahim. Kita tidak perlu memiliki apa apa illusi, atau termimpi-mimpi akan keadilan. Atau seperti beberapa pemimpin PKR yang terperanjat dengan keputusan Mahkamah Jalan Duta.
Anwar disingkir oleh Mahathir Muhamad kerana Anwar mengganggu perjalanan ekonomi kapitalis yang dikepalai oleh Mahathir Muhamad. Mahathir dan kuncu-kucunya tidak lagi yakin kepada Anwar sebagai pembela dan penjaga kaum pemodal seperti Daim, Ananda, Vincent, Lim Goh Tong. Kaum pemodal yang menjadi kroni Mahathir sedang menghadapi krisis ekonomi pada tahun 1997/98. Anwar mengabaikan kepentingan para pemodal dan cukong ini. Ini kesalahan Anwar. Bontot Azizan atau Lubang Saiful ini hanyalah sandiwara.
Pada hemat saya apabila Anwar berjaya mengumpulkan tenaga dan membawa satu politik baru pada pilihanraya yang lalu – kaum pemodal dan para cukong yang dahulunya memusuhi Anwar merasa diri mereka dalam bahaya. Musuh-musuh lama Anwar berkumpul kembali. Mereka berkomplot untuk menetaskan Lubang Saiful sebagai stratiji baru. Kali ini Anwar Ibrahim wajib ditamatkan – politik dan terakhir ini dalam kes sabotaj kereta – membuktikan hayat Anwar juga wajib ditamatkan.
Pada ketika ini kita bukan lagi di zaman Sultan Mansor Shah – berRaja dimata dan berSultan dihati. Justeru, perlu ada sandiwara untuk meminggirkan Anwar dari orang ramai dan dari penyokongnya. Anwar sekali lagi di tuduh meliwat dan dibicarakan.
Sandiwara ini juga dipentaskan untuk memuaskan hati beberapa Ngo, badan hak asasi luar negara dan negara-negara luar yang berniaga dengan Malaysia. Sandiwara ini hendak membuktikan bahawa kita bukan lagi di zaman Sultan Mansor Shah. Tetapi hakikatnya kezaliman yang wujud sekarang lebih buruk lagi dari zaman Sultan Mansor Shah dahulu
Tuan Doktor, pegawai polis, mata-mata, hakim, peguam, Peguam Negara, Pendakwa Raya – semua ini adalah pelakon yang dibayar upah oleh United Malays National Organisation. Mereka semuanya menumpang hidup dengan kuasa United Malays National Organisation. Kenaikan pangkat, derajah kebesaran yang mereka dapati – mereka dipanggil Datuk dan Tan Seri - semuanya bergantung kepada United Malay Natyional Organisations. Mereka ini adalah aparatus dan pekakas dalam sistem ekonomi kapitalis.
Mereka akan dianggap gila dan sasau jika mereka berani melakukan sesuatu yang bertentangan dengan skrip yang telah ditulis. Hari ini para pelakon telah dilatih. Prop dan pentas telah disediakan. Mak Andam telah dilanggan. Babak akhirnya ialah Anwar Ibrahim akan didapati bersalah dan akan masuk ke penjara.
Saya berkata demikian seawal mungkin agar tidak ada sesiapa pun yang akan menganggap Mahkamah Malaysia ini adil dalm kes Anwar Ibrahim. Saya katakan bahawa Anwar Ibrahim akan dipenjara agar para aktivis dan pemimpin PKR lebih banyak membaca dan kurangkan berilusi. Ini bukan pandangan juling, bukan angan-angan atau mimpi-mimpi. Kasar bunyi cakap saya ini tetapi apa yang saya tulis ini adalah realpolitik.(TT)
No comments:
Post a Comment