SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH

Tuesday, May 31, 2011

SEJAHTERA KAH KEDAH???

Oleh: Jin Brabus

Salam Sejahtera Dan Salam Reformasi


Agak lama Jin Brabus xmenulis cerita2 politik semasa selepas pembongkaran adun yang lompat melompat ni suasana politik tempatan dan Negeri Kedah khasnya agak terkawal kecuali 2-3 kes semasa banjir melanda dan juga lompatan MP Padang Serai yang lalu....seperti yang ditulis dan dijangkakan semuanya berlaku walau pun perkara yang dibongkarkan tidak diambil peduli oleh pimpinan atasan...maklumlah tulisan penulis picisan golongan marhaen xsiapa pun ambil pot dan xdi pedulikan..akhirnya semuanya menjadi kenyataan cuma yang umporno xdapat mengambil alih negeri Kedah walau pun hampir2 terjadi...Seperti biasa bila bersembang di kedai2 kopi ada juga kawan2 tanya hang dah bersara politik ke...senang je aku jawab...dah menang depa pandai la buat kerja..standard.kita cuma boleh pacak dan gantung bendera je.....hehehe....Tapi dengan keadaan kenaikan harga minyak ron97 dan kenaikan harga barangan seperti gula,minyak masak dan sebagainya terasa betapa semakin perit dan terhimpit golongan marhaen macam aku terasa juga nak meluahkan rasa xkepuasan hati...baru nak luahkan dah naik pula tarif eletrik..pergh!! makin sengsara la kita. Itu belum lagi kenaikan minyak petrol ron95 yang pastinya tetap akan dinaikkan cuma hanya waktu yang menentukan......Apa nak jadi di zaman Najib ni...semuanya naik..berturut turut pula tu....apa pasal pun xtau mungkin nak cover dia dan isterinya asyik kerap keluar negara...depa dok hura sakan kita rakyat nak kena tanggung....

Aku malas nak menulis cerita politik nasional ni kerana bukan taraf aku pun cuma aku nak cerita pasal senario politik Kedah dimana 2-3 hari lepas ada kejadian meruntuh gerai2 peniaga di jalan kelab cinta sayang Sg Petani , Taman Ria Jaya....gerai orang melayu yang diruntuhkan penguasa tempatan..Ada bloggers dah samakan Kerajaan Kedah dan Kerajaan LGE Penang yang meruntuh gerai peniaga kecil Melayu....Khabarnya semua yang meniaga di gerai2 tersebut boleh dikatakan penyokong kuat PR. Orang surau berhampiran pun ada. Kenapa Zalim sangat. Aku xtuduh kerajaan Kedah Zalim tapi kita kena siasat siapa empunya angkara..adakah tangan2 ghaib dibelakang kejadian itu untuk pedajal Kerajaan Negeri Kedah. Tapi kemuskilan juga timbul kemana perginya ahli2 Majlis yang dilantik Kerajaan PR negeri Kedah. Hampa tidoq ke?..Mana pi Adun Bt Selambau?.SIBUK MEMANJANG dan.dengaq kata kerap dok pi Thailand....pergi urusan peribadi ke urusan kerja..dengaq kata hang ada urusan perniagaan peribadi disana..Guna dana kerajaan negeri tapi buat kerja peribadi..mampuih la kalau macam ni. Patut la dah dengaq rungutan dari mulut DSAI menyesal dok pilih hang...Dah la dana dan kewangan untuk cabang hang xbantu..Kesian aku pada DSAI semua calun pilihannya semua buat onar dan menikamnya semula..Zulkipli Nordin orang dia katanya tapi hancuq jadi gila babi...Zahrin yang konon kawan lamanya..apa dah jadi..menghentam dia tanpa rasa belas...banyak dan panjang lagi kalau nak cerita...Berbalik pada cerita runtuhan tadi kenapa xada tolak ansur dah kepada peniaga. Setau aku kawasan tu menang sesuai untuk meniaga. Bukan ada gangguan lalu lintas pun. Ramai kakitangan kerajaan dan orang awam dok makan kat situ..Harap2 wakil kerajaan negeri cepat2 menyisat hal tersebut..dan arahan diterima dari siapa. Adakah ini satu muslihat politik kotor untuk menunjukkan bahawa kerajaan PR memang zalim dan jauh menyimpang dari slogan dan menifesto pilihanraya ,juga slogan Kedah Sejahtera seperti yang dilaung laungkan..Walaupun dah dengar kata ada perjumpaan peniaga dengan ahli2 majlis telah diadakan..keputusannya Wallahualam....Dah terantuk baru nak terngadah...jangan sampai baling2 kerusi . Dan yang penting Kerajaan Negeri hendaklah menyiasat perkara tersebut sampai kelubang cacing...

Aku juga terbaca dalam blog cerita mengenai si Zamil. Pengerusi Parti Kita Negeri Kedah pasal kalau siapa dapat bawa orang yang muka seiras DSAI dia nak bagi Rolls Roycenya..Pergh!!!..kaya giler si Zamil ni no Banyak duit dia. Seingat aku la semua ahli aktif dalam PKR kenal akan dia. Berniga politik untuk kaya. Kawan atau wakil si Ezam di Kedah dan kawasan utara. Apa dia kelentong Zaid Ibrahim sampai percaya dan lantik dia ni jadi Pengerusi Parti Kita di Kedah pun kita xtahu...Sah Zaid terkena pasal punya la nak jadi Presiden Parti. Nak bagi Rolls Royce macammana sedangkan hutang baiki kereta kat kedai pomen pun xboleh nak jelas. Jangan nak auta dan jual temberang serta mencari publisiti murahan..Pada hang dok kacau DSAI pasal fitnah video sex tu baik lah jaga Isteri2 hang seramai 3 orang tu termasuk muallaf dari vietnam...ada juga pasal.. Dengaq kata juga hang dok sebuk cari kerusi nak bertanding PRU 13 ni nak lawan calun2 dari PR..awat hang cari tempat yang orang xkenal hang. Hang malu ke pasal kalau dikawasan hang orang kenal perangai hang. Hang jangan ingat dikawasan orang xkenal hang akan selamat. Keburukan dan duri onar yang hang buat akan tetap didedahkan walau dimana saja hang bertanding. Hang kena ingat tu!!!. Kesian kat Zaid Ibrahim kena kencing dengan hang.....hehehe.

PRU13 dah semakin hampir..seawalnya bulan julai ini sebagaimana yang diriuhkan. Samada bulan julai atau bila2 masa pun ingatan saya sebagai rakyat dan pengundi juga cakap2 dari teman2 yang lain berharap PKR Kedah carilah calun yang betul layak dan yang tahan diuji. Baik dari segi tahan godaan harta benda dunia dan wang ringgit. Pastikan calun tersebut ditapis dengan sehalusnya agar pengundi xmenyesal dan calun2 ini boleh menjalankan amanah setelah mandat diberkan pada mereka. Jangan pilih calun2 yang mempunyai agenda peribadi. Sanggup berhabisan belasan ribu ringgit semata mata nak jadi ketua cabang. Dulu masa parti dalam kepayahan merangkak dan teraba raba muka pun xnampak. Bila dalam situasi menang dan2 dia la yang paling depan...bila tiba masa nak diadakan pemilihan cabang sibuk bagi bantuan sana dan sini. Habis ahli dibeli. Sanggup sewa bas supaya ahli keluar mengundi dan memilih dia sebagai ketua cabang yang baru... Hebat!!!..dah hampir sama dengan parti umporno. Juga pernah mengungkapkan kalau depa bagi aku 2-3 ratus ribu aku pun nak lompat sama. Xada jati diri. Buat program pun syok sendiri...Pilihlah calun2 yang xakan mengkianati Pengundi dan Parti. Mana calun yang menang baru2 ni perlu dibuat penilaian semula. Yang dok ada rasanya semua xreleven dah. Jenis xbuat kerja. Ada YB dah umumkan kalau dia xdipilih dia akan bertanding calunbebas...sampai tara tu.. Biaqpi kat dia. Dia nak hilang wang pertaruhan dia punya pasal macam bekas adun Padunngan di Serawak tu. Pengundi pilih atas dasar parti dan bukannya sebab peribadi.Bila buat banner ucapan selamat dihari kebesaran lambang parti pun xbubuh dah. Dia menang atas parti mana pun kita xtahu. Seolah dialah yang hebat,,. Jangan lagi ada adun yang mahu mengkianati pengundi. Peringatan yang cukup jelas kepada Kepimpinan PKR Negeri Kedah. Rakyat mahukan perubahan. Sudah lebih 54 tahun umporno bee end memerintah dah banyak menyusahkan rakyat terutamanya rakyat marhaen apakah kita tidak mengambil iktibar dari perkara tersebut. .

Juga sebagai rakyat Kedah peringatan juga diberikan bukan sahaja kepada wakil rakyat PKR sahaja. tetapi semua wakil2 baik dari PAS dan DAP..diperingkat bawahan rakyat dah ada kedengaran cakap sumbang puak2 PR ni baik PAS aatau PKR sama aje. Xbuat kerja,lena dan pilih bulu.Tahu nak melaram dengan kereta mewah exconya kesana kemari.dan membuat perbandingan dengan Krajaan Negeri Pulau pinang yang amat sederhana. Terserah la kepada YAB Menteri Besar kita yang bijaksana. Untuk menilai NKRA wakil2 rakyat dibawahnya. Rakyat bawahan ramai yang xberpuas hati antaranya kerana kenaikan tarif air yang membebankan walau pun ada yang tahu keputusan tersebut bukanlah dalam bidang kuasa kerajaan negeri tetapi sekurang kurangnya lawan apa yang dibuat pusat.seperti Kerajaan Negeri Selangor. Nampak juga la Kerajaan Negeri ada unsur2 untuk membela rakyatnya. Bukan sahaja cakap2 dari orang2 diatas pagar tetapi kawan2 yang sama2 berpeluh dan berpenat menaikkan bendera dan memasang poster untuk memenangkan calun PR bila tibanya Pilihanraya. Cuma kita tahu dari segi amanah dalam pentadbiran memanglah kerajaan PR kedah adalah yang terbaik dan dipuji seperti dlam lapuran Ketua audit Negara.Pendapatan hasil Kerajaan Negeri meningkat dan bebas rasuah. Tapi Kerajaan negeri juga kena faham apa yang rakyat perlukan. Rakyat mahukan pembelaan agar tidak menyuisahkan dalam kehidupan yang semakin mencengkam.Yang mana perlu dibantu kena tunaikan tanggungjawabnya sesuai dengan Slogan KEDAH SEJAHTERA.........Apa pun tepuk dada tanyalah selera..Jangan sampai hilang majoriti....apa macam?..

SUARA RAKYAT SUARA KERAMAT

Thursday, May 26, 2011

REAL POLITIK

TUAN HAKIM YANG MULIA

Mahkamah Malaysia telah membuat keputusan bahawa Anwar Ibrahim wajib menjawab tuduhan yang diajukan oleh Saiful. Pelbagai reaksi telah saya baca. Ada yang berkata mahkamah tidak telus. Ada yang berkata mahkamah dipergunakan. Dan paling lawak datangnya dari beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat sendiri yang menganggap Mahkamah Malaysia telah tidak berlaku adil.

Dari apa yang saya baca saya sini saya melihat jelas ada kejulingan. Ada kejulingan yang amat besar yang sedang dihadapi oleh ramai aktivis politik dalam PKR. Kejulingan ini juga terdapat dikalangan beberapa pimpinan PKR sendiri.

Kejulingan ini muncul hasil dari kegagalan memahami apa itu politik. Kejulingan ini menjadi buta jika gagal memahami hubungan antara politik dan ekonomi. Gagal memahami politikal ekonomi maka gagallah semua pembacaan dan analisa politik terkini.

Kejulingan pandangan politik ini telah juga mempengaruhi orang biasa – orang ramai yang bacaan dan analisa politiknya kurang. Ini menjadi bahaya besar. Bayangkan kalau tuan gurunya juling dan rabun bolehkah anak muridnya mendapat pencerahan.

Oleh itu untuk memahami apa yang berlaku sekarang mari kita kembali memahami salasilah politik Tanah Melayu. Pada satu ketika dahulu Tanah Melayu ini mengamalkan sistem feudal. Kunci dan asas sistem feudal ialah tanah sebagai punca ekonomi yang utama.

Dalam sistem ekonomi feudal semua kekuasan dimiliki oleh Raja dan kaum kerabat Istana. Kaum feudal ini memiliki dan menguasai semua tanah yang menjadi punca ekonomi pada ketika itu. Semua orang Melayu dan Orang Asal pada ketika itu tertaklok dibawah kuasa Raja dan Istana.

Untuk memastikan sistem feudal ini kukuh dan berkuasa – si Raja telah mengupah apa yang kita kenali sebagai panglima dan juak juak istana. Mereka inilah yang menjadi penguat kuasa dalam sistem feudal. Mereka menjadi pemungut cukai dan juga tukang pukul.

Sistem ekonomi feudal Melayu ini diubah oleh penjajah British yang memperkanalkan sistem ekonomi kapitalis. Kapitalisma sebagai sistem ekonomi telah lama berkembang di Barat. Negara-negara kapitalis Barat - Britain, Peranchis, Jerman, Italy, Portugal dan Sepanyol semuanya mencari tanah-tanah jajahan di Asia, Afrika dan Amerika Latin untuk menambah harta kekayaan negara mereka.

Di Tanah Melayu dengan licik British telah mengubah dari sistem Raja Mutlak kepada sistem Raja Berperlembagaan. Apabila Tanah Melayu dikatakan merdeka pada tahun 1957 dahulu, British telah meninggalkan sistem ekonomi kapitalis dan lembaga-lembaga aparatus yang menjalankan tugas untuk memastikan sistem ekonomi kapitalis ini bertapak dan berkembang maju di Tanah Melayu.

Semenjak tahun 1957 – Tanah Melayu meneruskan sistem ekonomi kapitalis dalam sistem Raja Beperlembagaan. Melalui Perlembaagan Tanah Melayu ini telah diwujudkan Parlimen sebagai lembaga pengubal undang-undang. Di wujudkan Lembaga Kehakiman untuk menjadi pereka dan pentafsir undang-undang. Untuk memastikan undang-undang ini dikuat kuasakan telah didirikan apa yang dipanggil Lembaga Kepolisian. Raja-Raja Melayu terus diwujudkan sebagai Raja Berperlambagan untuk mastikan timbang tara adil kepada warga anak semua bangsa.

Di canangkan keseluruh pelusuk negeri bahawa lembaga-lembaga ini memiliki rujukan sendiri. Lembaga-lembaga ini dikatakan bergerak bebas. Badan-badan ini bergerak sebagai neraca - mengimbang dan mengawal perjalanan tamadun moden. Lembaga-lembaga daulah ini diwujudkan untuk memastikan warga negara anak semua bangsa akan mendapat keadilan.

Tersenyumlah para pembaca sekelian. Ini bukan kerana saya membuat lawak. Sebenarnya apa yang saya tulis diatas adalah sandiwara politik dan perlembagaan yang ditinggalkan oleh British. Pada awal kelihatan lembaga-lembaga ini berfungsi seperti yang dicita-citakan. Tetapi lama kelamaan semuanya lupus.

United Malays National Organisation telah berkuasa lebih dari 50 tahun. Hasilnya lembaga-lembaga ini semua telah pudar dan tidak berfungsi seperti yang dicita-citakan. Semakin lama United Malays National Organisation berkuasa semakin mandul lembaga-lembaga ini

Justeru apabila Anwar Ibrahim dihadapkan ke mahkamah ianya bukan lagi mahkamah yang di terima oleh Tunku Abdul Rahman dari Bristish. Bangunan Mahkamah di Jalan Duta memang dilihat gah kerana ini adalah projek kroni. Mahkamah ini bukan indah khabar dari rupa tetapi tidak ada khabar dan langsung tidak ada rupa. Ini adalah mahkmah peninggalan Mahathir Muhamad.

Sultan Mansor Shah di zaman Melaka dahulu sekali gus menjadi : mahkamah, menjadi hakim dan menjadi pendakwa. Raja-raja di zaman itu tidak berselindung dan bersandiwara. Hari ini lembaga-lembaga daulah yang kita temui masih berselindung dan bersandiwara. Bersandiwara dengan tujuan untuk menipu orang ramai.

Orang ramai perlu diberitahu bahawa – hakim, polis, mata-mata, mahkamah, menteri – tidak ada hubung kait. Semua badan ini bebas bergerak. Anwar Ibrahim dibicarakan oleh Mahkamah yang bebas dan berwibawa. Siasatan dijalankan oleh polis dengan rapi dan berhemah. Hakim pula adalah seorang insan yang telus, jujur dan boleh dipercayai. Jangan ketawa – ini bukan pendapat saya. Inilah adalah lawak yang selalu kita dengar dalam kes perbicaraan Anwar Ibrahim.

Pada hakikatnya semua lembaga-lembaga daulah yang wujud hari ini – Raja, Mahkamah, Kehakiman, Akhbar, Polis, Mata-Mata – malah apa sahaja – semuanya tunduk dan mengikut arahan United Malays National Organisation. Malah kalau di zaman kesultanan Melayu dahulu, jika Raja Bersiong di Kedah zalim - orang Kedah yang dizalami ini boleh berpindah ke Kelantan. Hari ini tidak mungkin lagi. Kalau Sultan Johor zalim, suka ambil bini orang – rakyat boleh bangun melawan dan membunuh Sultan yang zalim ini. Ini tidak mungkin berlaku hari ini.

Kalau di zaman kesultaan Melaka dahulu yang menjadi penguat kuasa dan pemungut cukai hanyalah panglima dan juak juak Sultan. Hari ini dalam sistem kapitalis moden telah diwujudkan satu jabatan khusus untuk memungut cukai. Manakala untuk pertahanan tak perlu juak dan panglima lagi - telah ada bala tentera yang moden termasuk adanya kapal selam dari Peranchis.

Sebagai penguatkuasa - Lembaga Kepolisian dan mata-mata telah ditubuhkan. Polis dan mata-mata ini sama peranan nya seperti panglima dan juak Istana – menjadi kaki pukul. Apa yang berbeza dari zaman Sultan Mansor Shah ialah hari ini polis memiliki pakaian seragam dan tidak lagi menerima itik, ayam atau beras sebagai rasuah. Polis dan mata-mata hari ini menerima wang tunai.

Amat jelas bahawa semua lembaga-lembaga ini telah menjadi pekakas untuk memastikan United Malays National Organisation akan terus berkuasa. Lalu timbul persoalan - kenapa dan apa yang mengikat lembaga-lembaga dan sosok yang mewakili lembaga-lembaga ini? Kenapa mereka terus tunduk kepada kuasa United Malays National Organisation?

Bila persoalan ini timbul maka saya ingatkan kembali betapa pentingnya memahami politikal ekonomi. Apa yang mengikat lembaga-lembaga ini dengan United Malay National Organisations ialah kepentingan ekonomi. Polis, soldadu, mata-mata, pegawai kerajaan dan para hakim semuanya makan gaji. Mereka dibayar upah oleh kerajaan. Jelas, ekonomi mereka bergantung kepada kuasa yang ada pada United Malays National Organisation.

Jika telah dapat memahami apa yang saya tulis diatas maka amatlah mudah untuk memahami kes Anwar Ibrahim. Kita tidak perlu memiliki apa apa illusi, atau termimpi-mimpi akan keadilan. Atau seperti beberapa pemimpin PKR yang terperanjat dengan keputusan Mahkamah Jalan Duta.

Anwar disingkir oleh Mahathir Muhamad kerana Anwar mengganggu perjalanan ekonomi kapitalis yang dikepalai oleh Mahathir Muhamad. Mahathir dan kuncu-kucunya tidak lagi yakin kepada Anwar sebagai pembela dan penjaga kaum pemodal seperti Daim, Ananda, Vincent, Lim Goh Tong. Kaum pemodal yang menjadi kroni Mahathir sedang menghadapi krisis ekonomi pada tahun 1997/98. Anwar mengabaikan kepentingan para pemodal dan cukong ini. Ini kesalahan Anwar. Bontot Azizan atau Lubang Saiful ini hanyalah sandiwara.

Pada hemat saya apabila Anwar berjaya mengumpulkan tenaga dan membawa satu politik baru pada pilihanraya yang lalu – kaum pemodal dan para cukong yang dahulunya memusuhi Anwar merasa diri mereka dalam bahaya. Musuh-musuh lama Anwar berkumpul kembali. Mereka berkomplot untuk menetaskan Lubang Saiful sebagai stratiji baru. Kali ini Anwar Ibrahim wajib ditamatkan – politik dan terakhir ini dalam kes sabotaj kereta – membuktikan hayat Anwar juga wajib ditamatkan.

Pada ketika ini kita bukan lagi di zaman Sultan Mansor Shah – berRaja dimata dan berSultan dihati. Justeru, perlu ada sandiwara untuk meminggirkan Anwar dari orang ramai dan dari penyokongnya. Anwar sekali lagi di tuduh meliwat dan dibicarakan.

Sandiwara ini juga dipentaskan untuk memuaskan hati beberapa Ngo, badan hak asasi luar negara dan negara-negara luar yang berniaga dengan Malaysia. Sandiwara ini hendak membuktikan bahawa kita bukan lagi di zaman Sultan Mansor Shah. Tetapi hakikatnya kezaliman yang wujud sekarang lebih buruk lagi dari zaman Sultan Mansor Shah dahulu

Tuan Doktor, pegawai polis, mata-mata, hakim, peguam, Peguam Negara, Pendakwa Raya – semua ini adalah pelakon yang dibayar upah oleh United Malays National Organisation. Mereka semuanya menumpang hidup dengan kuasa United Malays National Organisation. Kenaikan pangkat, derajah kebesaran yang mereka dapati – mereka dipanggil Datuk dan Tan Seri - semuanya bergantung kepada United Malay Natyional Organisations. Mereka ini adalah aparatus dan pekakas dalam sistem ekonomi kapitalis.

Mereka akan dianggap gila dan sasau jika mereka berani melakukan sesuatu yang bertentangan dengan skrip yang telah ditulis. Hari ini para pelakon telah dilatih. Prop dan pentas telah disediakan. Mak Andam telah dilanggan. Babak akhirnya ialah Anwar Ibrahim akan didapati bersalah dan akan masuk ke penjara.

Saya berkata demikian seawal mungkin agar tidak ada sesiapa pun yang akan menganggap Mahkamah Malaysia ini adil dalm kes Anwar Ibrahim. Saya katakan bahawa Anwar Ibrahim akan dipenjara agar para aktivis dan pemimpin PKR lebih banyak membaca dan kurangkan berilusi. Ini bukan pandangan juling, bukan angan-angan atau mimpi-mimpi. Kasar bunyi cakap saya ini tetapi apa yang saya tulis ini adalah realpolitik.(TT)

SKANDAL PERCETAKKAN MATA WANG BERGANDA

Kerajaan diminta mengumumkan siasatan mengenai skandal mencetak mata wang berganda yang pernah ditimbulkan sejak beberapa tahun lalu.

Ia berikutan pengumuman Bank Negara Malaysia untuk mengeluarkan siri baru wang kertas dan syiling Malaysia yang dikatakan akan diedarkan di pasaran pada awal 2012.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, isu percetakan mata wang berganda itu telah beberapa kali dibangkitkan di parlimen, namun sehingga kini kerajaan dan agensi undang-undang yang terlibat gagal mengumumkan sebarang hasil siasatan mengenainya.

“Sehingga kini siasatan ini didiamkan. Dulu dikatakan kerajaan akan dedahkan hasil siasatan di parlimen, tapi sehingga kini tidak ada langsung penemuan dan hasil siasatan yang diberikan kepada kita,” kata Azan ketika dihubungi keadilandaily.com.

Azan merujuk skandal komisyen bernilai RM11.4 juta yang diterima individu tempatan daripada syarikat membekal bahan polimer untuk mencetak wang kertas, Securency International dan Note Printing Australia.

Dua anak syarikat Reserve Bank Australia itu didakwa merasuah pegawai tinggi kerajaan selaku orang tengah bagi mendapat kontrak mencetak dan membekalkan mata wang negara antara 1990 hingga 2005.

Individu yang juga dikatakan ahli perniagaan itu dikatakan rapat dengan Umno dan kerajaan.

Menurut Azan, mata wang berganda yang memiliki nombor siri yang sama itu dipercayai digunakan Umno-BN untuk merasuah pengundi setiap kali pilihan raya umum dan negeri, seperti mana dikesan berlaku di Sabah.

Azan menyifatkan aktiviti percetakan mata wang berganda itu sebagai pengkhianatan kepada institusi kewangan negara dan lebih teruk berbanding spekulasi nilai mata wang.

Ini kerana lambakan mata wang berganda itu juga akan menyebabkan nilai mata wang jatuh dan mengheret negara ke arah inflasi.

“Apabila ini berlaku, nilai mata wang malaysia akan jatuh dan tak boleh diperdagangkan di peringkat antarabangasa. Ia hanya laku dalam negara menyebabkan kejatuhan nilai. Ia menyebabkan inflasi dan juga terdedah kepada spekulasi.

“Di sesetengah negara, mereka yang didapati bersalah melakukan perkara ini akan dihukum mati,” tambah beliau.

“Sebab itu, jika menyentuh soal mata wang berganda ini, saya merasa curiga kerana isu yang ditimbulkan sejak 2009 iaitu selepas pilihan raya pada Mac 2008 masih belum berjawab,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama Azan turut mempersoalkan mengapa kontrak percetakan mata wang negara perlu dilakukan melalui pihak ketiga.

“Seingat saya tiga kali perkara ini diberi perhatian di parlimen termasuk dalam belanjawan negara. Tetapi tidak ada jawapan munasabah mengapakah kita melantik agen sedangkan banyak negara seperti Thailand mengendalikan percetakan mata wang sendiri supaya mudah untuk diawasi,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14100

Monday, May 23, 2011

Ketua Hakim Negara kini kritikal


Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi dipercayai berada dalam keadaan kritikal setelah terjatuh di Wad ED, Hospital Putrajaya pagi ini. Beliau dipercayai mengidap tekanan darah rendah dan komplikasi jantung, lapor Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau kini dilaporkan dibawa ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan susulan.
Kini difahamkan bahawa keluarganya kini mahukan privasi dan tidak mahu bercakap dengan pihak media buat masa ini.

Zaki, 66, dilantik sebagai ketua hakim negara yang keenam pada 21 Oktober 2008, menggantikan Tun Abdul Hamid Mohamed.

Beliau juga berkhidmat sebagai hakim mahkamah persekutuan dan presiden mahkamah rayuan.

Thursday, May 19, 2011

UMNO TERDESAK!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


PETALING JAYA: Alasan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa KEADILAN melanggar salah satu fasal perlembagaan parti itu adalah aneh kerana ia tidak pernah wujud, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata, dalam surat tunjuk sebab yang dialamatkan kepada Presiden KEADILAN, ROS memberi alasan parti itu melanggar fasal 32.2.1 Undang-undang berdaftar parti dengan merujuk pemecatan Rajagopal a/l Andaikalam pada 2009.

“Fasal 32.2.1 tidak wujud dalam perlembagaan KEADILAN. Perkara aneh ini, mencerminkan niat jahat dan ‘mala fide’ ROS. Apakah ROS tidak membuat semakan perlembagaan KEADILAN yang diluluskan oleh mereka sendiri?,” soal Saifuddin ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN tengahari tadi.

Notis bertarikh 9 Mei 2011 itu ditandatangani Dato’ Abdul Rahman Othman, di bawah Kementerian Dalam Negeri di bawah Seksyen 13 Akta Pertubuhan 1966 yang mengancam untuk membatalkan pendaftaran KEADILAN selepas 9 Jun 2011.

Ia dikirim menerusi pos berdaftar dengan salinan turut dihantar kepada Presiden dan Bendahari Agung, menyatakan pendaftaran KEADILAN akan dibatal selepas 9 Jun melainkan parti itu menyatakan sebab.

Menurut Saifuddin, sekiranya alasan pemecatan ahli tanpa melalui lembaga disipin digunakan, ROS sepatutnya sudah lama mengharamkan Umno.

“Sebelum ini Umno memecat saya tanpa dihadapkan ke lembaga disiplin parti. Mengapa ROS tidak menggunakan alasan yang sama untuk mengharamkan Umno?,” katanya merujuk pemecatannya pada 20 September 1998 oleh Setiausaha Agung Umno ketika itu.

Tambah beliau, nama Rajagopal seperti yang tertera dalam surat berkenaan juga adalah salah kerana nama sebenarnya Jayagopal a/l Andaikalam.

Saifuddin berkata, Jayagopal dipecat melalui keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada mesyuarat bertarikh 26 April 2009 kerana bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Bukit Selambau sebagai calon bebas.

“Fakta ini diketahui umum dan boleh didapati dari laman web Suruhanjaya Pilihan Raya. Ia tidak boleh dinafikan. Justeru, adalah amat jelas dalam kes ini, penama tidak perlu dirujuk atas apa jua siasatan.

“Mana-mana parti politik tidak akan menerima keadaan di mana seorang anggotanya bertanding menentang parti sendiri,” kata Saifuddin sambil menambah, notis jawapan akan dihantar kepada ROS petang ini.

Sementara itu, Ahli Biro Politik KEAIDILAN, Sivarasa Rasiah berkata perkara pemecatan yang dibangkitkan tidak ada kena mengena dengan ROS memandangkan ia adalah isu dalaman parti.

“Inilah pertama kalinya dalam sejarah, apabila kita dengar isu pemecatan ahli dijadikan alasan untuk membatalkan pendaftaran parti. Saya yakin ada tangan Umno dan Barisan Nasional di belakang tindakan ini.

“Perkara ini cukup remeh dan bodoh yang cuba dilakukan untuk memberikan implikasi serius kepada KEADILAN. Tambahan dalam keadaan kita menjangkakan pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat,” ujar Siva.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=13668

Wednesday, May 11, 2011

CERITA BANGUNAN UMNO KEDAH


Pertama sekali nak ucap terima kasih kepada Kedah La. Sekali hantar artikel terus dilantik jadi kolumnis.
Pagi ni Mid Panah nak ajak rakyat Kedah nilai kemampuan UMNO tanpa kerajaan. Ca tengok gambar sebelah (*Ca=cuba, bahasa Kedah tua). Sapa pernah ke Kuala Kedah pasti nampak bangunan tu tersergam indah di sebelah kanan sebelum sampai simpang utama pekan Kuala Kedah.

Dulu masa Syed Razak jadi Menteri Besar merangkap ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah, bangunan itu adalah pejabat UMNO bahagianTersergam signboard dan bendera UMNO Be End. Semua orang sangka bangunan tu milik UMNO.

Selepas semua simbol UMNO terhapus dari bangunan tu baru orang tau 'rupanya itu bangunan bukan UMNO yang punya, tapi Ahmad Albab yang punya'. Rupanya selama ini depa hanya menumpang bangunan milik toke Cina, bukannya bangunan milik ahli Perkasa yang dok gheyau 'hidup Melayu!'. Bila Syed Razak dah tak jadi ketua bahagian.. kuasa pun dah takdak sapa nak bagi tumpang lagi, tuan dia ambik baliklah. Ihh hina sungguh perjuangan hidup Melayu, menumpang bangunan Cina.

Itulah hakikatnya UMNO selama ni bukan ada ada pun dok menumpang merata atau mengharap reta meredak kerajaan jadi hak depa. Contoh paling baik ca tengok pejabat UMNO bahagian Alor Setar merangkap Pusat Khidmat Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Mat Bashah.. sampai lanie pun dok menumpang pejabat penghulu Mukim Mergong. Bangunan kerajaan, tanah pun milik kerajaan. Mujuqla kerajaan Ustaz Azizan baik, ada ati perot dan tak mau kecoh-kecoh.

Kalau nak senarai di Kedah ni belambak-lambak premis kerajaan, terutamanya dewan orang ramai masih dijadikan pejabat UMNO. Sebab tu bila depa nak buat ceramah Ummi Hafilda kat Taman Wira hari tu bila pemuda PAS halang, polis tak boleh buat apa. Jelas sekali itu premis kerajaan yang dijadikan reta meredak UMNO.

Cuba ingat balik masa BN merintah negeri dulu, jangankan nak guna premis kerajaan buat markaz (mustahillah) bayang bendera PAS pun takleh jatuh atas tanah kerajaan. PAS pernah nak buat Seminar Hudud di bangunan zakat, depa tak bagi. Pernah nak anjur program kat Holiday Villa, dah bayar sewa, mai arahan dari MB tak benarkan.

PAS parti miskin berbanding UMNO, tapi koman-koman PAS; daripada Kawasan hingga cawangan semua ada markaz sendiri. Takdak dok menumpang macam UMNO. Kalau UMNO kalah di Pusat, percayalah nak cari UMNO buat benih pun takdak dah masa tu.. sebab kekuatan mereka bergantung pada Kerajaan Pusat semata-mata.

Kalau tak pecaya Mid Panah cakap, mai seluruh rakyat jelata kita pakat-pakat jatuhkan UMNO Be End di Pusat...

tranungkite

Friday, May 6, 2011

TERBARU....


Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad diperdaya untuk mempercayai bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat dalam kegiatan homoseksual, sebelum memecat bakal penggantinya itu pada 1998. Perkara itu didedahkan Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim dalam surat terbukanya kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Ia menjurus kepada peranan yang dimainkan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, serta orang-orang di sekeliling Mahathir pada 1998.

Gani dan Musa, adalah individu yang bertanggungjawab dalam mengendali kes mata lebam Anwar, yang menyebabkan bekas Ketua Polis Negara pada masa itu, Tan Sri Abdul Rahim Noor dipenjara selama dua bulan.

“Pada bulan September 1998, Tun Mahathir pernah diperdayakan untuk mempercayai bahawa kecederaan mata-lebam Anwar adalah akibat “self-inflicted” sepertimana yang dirakamkan dalam memoirs beliau muka surat 693.

“Pada bulan Januari 1999 Gani Patail sendiri terlibat menipu Tun Mahathir dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai sesuatu yang tidak benar berkaitan dengan hasil siasatan Polis bersangkut insiden mata-lebam.

“Akibat perdayaan ini Tun Mahathir telah membenarkan pembentukan Suruhanjaya Di-Raja mengambil alih siasatan insiden mata-lebam daripada tangan Penyiasat PDRM,” ujar beliau.

Menurut Mat Zain, beliau menyimpulkan bahawa Mahathir sangat percaya bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual berdasarkan kepada dua surat yang diterima daripada Umi Hafilda pada 1997 dan taklimat daripada Musa Hassan yang ketika itu merupakan pegawai penyiasat.

“Persoalan yang timbul adalah sama ada Musa Hassan telah memberi Tun Mahathir taklimat yang jujur dan betul mengenai keterangan yang telah dikumpulkannya terhadap Anwar itu, ataupun Musa Hassan telah menokok tambah keterangan dalam taklimatnya untuk memperdayakan Tun Mahathir supaya mempercayai bahawa Anwar benar-benar terlibat dalam aktiviti homoseksual itu,” tulis beliau.



Mat Zain berkata, ia bukan pertama kali Mahathir ditipu oleh individu di sekelilingnya.

Pada Julai 1993, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim Thamby Chik juga pernah menipu Mahathir dengan membuat Akuan Sumpah Palsu bagi menyembunyikan harta berjumlah RM40 juta yang diperolehi menerusi salahguna kuasa dan rasuah.

Ia dilaporkan oleh Badan Pencegah Rasuah yang disahkan sendiri oleh Gani Patail ketika itu.

Menurut Mat Zain lagi, pada bulan Julai 2010 pula, bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr.Ling Liong Sik pula didakwa kerana menipu Jamaah Menteri, termasuk Mahathir sendiri dalam kes skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

“Contoh-contoh di atas dengan jelas membuktikan bahawa Tun Mahathir juga terdedah kepada perbuatan penipuan oleh Menteri atau Ketua Menteri ataupun oleh Pegawai-Pegawai Kerajaan atau mana-mana orang yang berpeluang memberi taklimat kepada beliau mengenai sesuatu perkara.

“Ringkasnya Tun Mahathir tidak “kebal” dari penipuan. Dengan demikian itu kemungkinan Tun Mahathir telah diperdayakan untuk mempercayai bahawa Anwar terlibat dalam aktiviti homoseksual tidak boleh diperkecilkan,” tulisnya lagi.



Dalam surat 16 perenggan itu, Mat Zain berkata, persepsi buruk rakyat terhadap Polis Di Raja Malaysia (PDRM) akan berterusan jika pihak berkuasa itu “terlalu menurut karenah” Peguam Negara.

“Secara peribadi saya mendapati PDRM terlalu menurut karenah Peguam Negara seolah tidak bebas bertindak sendiri.

“Sebagai seorang pesara yang mengetahui sedikit sebanyak asal usul isu dalam persoalan, saya berasa sedih dan khuatir sejarah lama akan berulang dan “pisang akan berbuah dua kali”,” ujarnya.

kl today

Thursday, May 5, 2011

Pembohongan Eskay tentang video fitnah semakin terserlah- Rafizi

KUALA LUMPUR: Pembohongan Ahli Perniagaan,Datuk Shazryl Eskay Abdullah mengenai rakaman video seks yang dikaitkan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin terserlah, kata Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli.

Beliau diminta mengulas kenyataan Eskay semalam yang menafikan menuduh Anwar melakukan zina, ketika ditanya wartawan selepas memberi keterangan di Balai Polis Kepong berhubung sumpah laknat yang dibuatnya minggu lalu.

“Orang seperti Eskay, lama kelamaan kredibiliti akan terserlah dengan kebohongan. Ceritanya tidak konsisten. Kita boleh senaraikan daripada awal. Mula-mula kata tempat (kejadian seks) berlaku di hotel, kemudian di spa dan apartment di Ampang.

“Selain itu, perkara asas dia berbohong pasal jam (Omega) yang dikata dicuri tetapi dalam video jelas ia tidak dicuri dan tidak wujud pula. Pada awal dia kata jam itu adalah bukti yang kuat tetapi kemudian kata tidak ada kena mengena pula.

“Ini salah satu dari rentetan penipuan, kita boleh masukkan senarai-senarai baru. Malah sumpah laknat yang dibuatnya juga satu penipuan. Seperti pepatah Inggeris, orang yang berbohong dengan satu pembohongan akan terus berbohong untuk menutup pembohongan lain yang dilakukannya,” ujar Rafizi kepada Keadilandaily.com.

Rafizi dalam pada itu turut ditanya mengenai ugutan Eskay, kononnya akan mendedahkan ‘perkara baru’ mengenai Anwar.

Menurut Rafizi, sejak dari awal tuduhan yang dibuat Eskay terhadap Ketua Umum KEADILAN itu tidak memberi sebarang kesan kepada KEADILAN, kerana rakyat tidak mempercayai fitnah yang dilemparkan.

“Ia tidak memberi kesan kepada kita, fokus kita jadi kerajaan dan memenuhi kehendak rakyat yang bersabit tentang menjaga kebajikan rakyat.

“Di pihak KEADILAN, ini perkara biasa apabila kita dilontar fitnah demi fitnah. Tetapi kita tumpu hal ehwal pentadbiran negara dan membanteras rasuah.

“Mereka cipta fitnah baru, kita dah lali. Rakyat sudah muak dan tidak teruja lagi dengan cerita mereka, akhirnya ia makan diri,” ujar beliau yang juga Ketua Eksekutif di Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, kenyataan terbaru Eskay itu juga menunjukkannya semakin gelabah dan mula mencari jalan keluar untuk menyelamatkan diri dari tuduhan yang dibuatnya sebelum ini.

“Mungkin dia takut dikenakan tuduhan qazaf. Tetapi kita akan teruskan dan pastikan dia dikenakan tuduhan qazaf di mahkamah syariah.

” Dia mula cari jalan untuk keluar dari tuduhan menuduh Datuk Seri Anwar berzina,” katanya.

Semalam, Eskay menafikan menuduh Anwar melakukan zina, sebaliknya menyerahkan beban dakwaan itu kepada wartawan yang menonton video itu di Hotel Seri Carcosa Negara pada 21 Mac lalu.

“Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya,”

“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” katanya kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan itu, lapor Malaysiakini.

Ketika ditanya mengenai jam tangan jenama Omega yang diserahkan kepada pihak polis, Eskay enggan menjawab mengapa jam Omega itu relevan dengan kesnya berikutan rakaman video itu langsung tidak menunjukkan jam tangan berkenaan.

Sebelum ini, terdapat percanggahan keterangan yang diberikannya dan kenyataan yang dibuat polis. Eskay mendakwa kejadian seks itu berlaku di sebuah hotel melibatkan seorang pelacur warganegara China.

Manakala polis pula berkata video itu dirakam di sebuah kondominium dan pelaku wanita dalam video itu adalah seorang pelajar di sebuah kolej di ibu negara.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=12791

ESKAY TIDAK TUDUH ANWAR PULAK?




KEPONG 4 MEI : Ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay hari ini menafikan beliau menuduh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berzina – pengakuan yang bercanggah sama sekali dengan dakwaan beliau sebelum ini.

Setelah lantang menuduh Anwar sebagai pelaku dalam rakaman video seks yang disebarkan menerusi Internet dan risalah di seluruh negara, Eskay menafikan membuat dakwaan sebegitu.

“Saya tidak pernah menuduh Anwar berzina. Bila saya tuduh dia berzina? Soal dia zina atau tidak berzina tidak ada kena mengena dengan saya, kata Eskay selepas memberi kenyataan kepada Polis Kepong petang tadi.

Dalam membuat penafian itu, Eskay cuba meletakkan beban fitnah kononnya Anwar adalah pelaku dalam video itu di atas bahu wartawan.

Eskay berkata beliau menjemput wartawan terpilih untuk menonton video itu di Hotel Carcosa pada 21 Mac lalu kerana mahukan mereka membuat penilaian sama ada pelaku dalam rakaman itu adalah Anwar.

“Saya menghubungi wartawan untuk tanya sama ada orang dalam rakaman itu adalah Anwar, itu sahaja. Anda yang paling rapat dengan dia, selalu mewawancara dia,” kata Eskay kepada pemberita yang kelihatan tercegang dengan kenyataan beliau.

Anwar sebelum ini membuat laporan polis terhadap Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Perkasa Shuib Lazim kerana menfitnah beliau bersabit rakaman 21 minit itu.

Gandingan Datuk T itu telah mengugut untuk menyebarkan video itu kepada rakyat jika Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak berundur dari politik dalam tempoh seminggu.

Apabila Anwar enggan tunduk kepada tekanan itu, video itu dimuatnaikkan ke Internet.

Pada sidang media berkenaan, Eskay turut ditanya kenapa rakaman video lucah itu tidak menunjukkan pelacur berkenaan mencuri jam Omega pelaku sebagaimana yang di dakwa oleh ahli perniagaan itu.

“Saya tak tahu…saya tidak perhatikan benda-benda ini,” kata Eskay.

Beliau sebelum ini mendakwa telah menyerahkan jam Omega kepada polis sebelum memberi DNAnya kepada Bukit Aman.

Eskay menafikan bahawa klip video berkenaan dirakamkan di Thailand ataupun negara asing yang lain.

"Alat perakam dan pita rakaman berkenaan buatan Malaysia. Ia tidak mempunyai sarikata (bahasa Siam) ketika saya memperolehinya,” katanya.

Beberapa klip video yang dimuatnaik di Youtube mempunyai jalur putih dengan sarikata bahasa Thai yang berbunyi “Phaholyothin Road, Bangkok, Thailand 10400, Hakcipta 2011".

Jalur putih tidak kelihatan ketika video seks itu pertama kali dipertontonkan kepada wartawan terpilih pada 21 Mac lalu, sebaliknya cuma memaparkan catatan masa.

Catatan masa juga ditemui pada klip video kedua yang dibocorkan di Youtube.

Eskay dipanggil ke Balai Polis Kepong hari ini untuk menerangkan kenapa beliau membuat sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul Jumaat lalu.

Dalam kejadian itu, berlaku tolak menolak serta pertengkaran kecil antara jemaah yang hadir, khususnya mereka yang membantah sumpah laknat itu sebagai satu lagi sandiwara Umno untuk mengaibkan Anwar.

Sekumpulan penyokong PKR mengadakan solat hajat dan berdoa supaya orang yang membuat fitnah dikenakan hukuman.

Eskay berkata Rahim dan Shuib juga dijadualkan memberi kenyataan kepada polis hari ini.

Namun sehingga lewat petang tadi, kedua-dua mereka masih belum muncul untuk memberi kenyataan. -TVSnews