SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Tuesday, January 25, 2011

LEPAS GO..MUS PULAK

Bekas naib presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub hari ini mengesahkan bahawa beliau menerima satu surat tunjuk sebab daripada parti itu, dipercayai berkaitan tindakannya mempertikaikan proses pemilihan parti.

Ketika dihubungi, Mustaffa berkata beliau bagaimanapun masih belum memutuskan sama ada akan menjawab surat yang ditandatangani setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution.

Beliau memberi alasan, tempoh selama sepuluh hari yang ditetapkan dalam surat tarikh bertarikh 13 Januari itu telahpun berakhir.

Sedangkan, beliau hanya menerima surat berdaftar itu di rumahnya di Kota Damansara semalam, katanya lagi.

"Saya sedang pertimbang apa langkah yang saya patut buat sebab tempoh dah tamat. Saya belum buat keputusan sama ada untuk jawab atau tidak," katanya lagi.

Ketika ditanya, Mustaffa bagaimanapun enggan menjelaskan butiran lanjut dalam surat yang salinannya turut dihantar kepada ketua umum, presiden, dan naib presiden parti.

"Tak tahulah saya, tapi nampak macam bersungguh-sungguh sangat (kandungan surat itu).

"(Kandungan surat) itu saya tak mahu sebutlah. Tapi saya agak ada kaitan dengan proses pemilihan parti," kata bekas calon timbalan presiden itu lagi.

Mustaffa merupakan pemimpin PKR kedua yang dikenakan tindakan disiplin selepas N Gobalakrishnan, calon naib presiden yang turut tewas dalam perebutan jawatan naib presiden.

Gobalakrishnan dalam tulisannya berkata Anwar mahu "menamatkan" Mustaffa dengan melantik bekas pengerusi PKR Perak itu ke jawatan ahli biro politik dan juga ke jawatan ketua biro latihan.

Mustaffa sebelum ini telah menimbulkan isu berhubung kedudukan jawatankuasa pemilihan parti (JPP) itu dalam menjalankan pemilihan berkenaan.

Beliau antara lainnya berkata, pemisahan tanggungjawab antara badan itu dengan sekretariat parti masih tidak jelas memandangkan masih terdapat persepsi bahawa JPP tiada kuasa autonomi.

Dalam satu sidang media pada 12 November lalu, Mustaffa memberi contoh tindakan beberapa ahli JPP yang kelihatan memakai lencana beberapa calon yang bertanding ketika menjalankan pemilihan parti.

Beliau turut mendakwa, sesetengah aduan semasa pemilihan cabang yang berakhir bulan lalu tidak dipandang serius oleh JPP mahupun sekretariat PKR sendiri.

Gobalakrishnan pula menerima tindakan itu berikutan tindakannya menyerang pemimpin parti itu termasuk ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui tulisan di laman Twitter selepas tewas dalam pemilihan tersebut.

Dilaporkan, Gobalakrishnan antara lainnya menulis bahawa beliau tidak terkejut dengan keputusan parti itu dalam menentukan kedudukan untuk Mustaffa Kamil Ayub yang turut kecundang dalam pemilihan itu.

No comments: