SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Tuesday, July 21, 2009

BAJU PENGANTIN BEN HOCK


Anak muda itu bukan Melayu…

Ada “pelampau” (extremist) yang beranggapan darahnya halal. Karena anak muda itu bukan Islam, maka darahnya halal. Karena namanya Teoh Beng Hok, maka darahnya halal…

Ini manusia jenis apa? Entah ajaran mana yang diikut? Ugama mana yang diturut? Bajingan kalau semua hal, termasuk soal nyawa dan kemanusiaan, diperhitung sebagai memenuhi percaturan politik-kekuasaan.

Tak ada sebab Teoh perlu bunuh diri. Hanya selang sehari, dia akan mendaftarkan perkahwinannya dengan Soh Cher Wei; si gadis berjarak umur 4 tahun lebih muda, yang juga seorang guru. Dia dirundung nestapa bukan kepalang, menanti kepulangan kekanda yang ditahan aparat pemerintah. Tak pulang-pulang.

Mereka sudah menempah dan menetapkan warna baju pengantin. Menelefon saudara-mara dan kawan-kawan memaklumkan tarikh bersandingan, dengan bangga. Juga sesi foto yang mahu diambil di taman bunga, tasek atau pantai waktu mentari jingga. Juga anak dalam kandungan kekasehnya… zuriat mereka berdua.

Teoh tentu tak pernah menduga, rupa-rupanya yang mengkehendakinya ke pejabat tingkat 14 itu adalah jemputan maut…

Kita tak dapat menerima sama sekali kemunafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sekonyong-konyong mengutus ucapan takziah kepada keluarga Teoh atas tragedi tersebut. Ucapan takziah yang diutus dari Arab Saudi tak lebih seumpama usaha untuk cepat-cepat cuci tangan dan melindungi sesuatu.

Andai saya ahli keluarga mendiang Teoh, saya akan menginjak-injak kalungan takziah dari Najib.

Kematian Teoh bukan kematian ‘biasa’. Dikatakan terhumban dari tingkat 14, ke bumbung pada aras 5–sewaktu Teoh sepatutnya berada dalam pengawasan pehak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Takkan sesiapa yang waras akan menerima dalih SPRM yang kononnya mendakwa sudah ‘membebaskan’ Teoh sekitar jam 4.30 pagi–hari di mana Teoh kemudiannya ditemui mati kira-kira 9 jam kemudian.

Tak akan siapa boleh menerima dalih bahawa selepas dibebaskan, Teoh tak segera pulang dan konon dikatakan telah menumpang tidur di sofa pejabat SPRM. Takkan siapa percaya Teoh mengingau, atau tergelincir jatuh. Apatah lagi bunuh diri.

Kes kematian anak muda ini diselubungi kesangsian. Maka, Najib atau mana-mana menteri Umno-BN tak perlulah menasehatkan rakyat untuk tidak merasa sangsi.

Mereka tidak berhak dan tidak punya wibawa sama sekali menghalang kewarasan rakyat yang merenung betapa memang wujud sesuatu yang tak kena kepada bukan sahaja pegawai SPRM, cara pengendalian soal-siasat, malah menjurus kepada SPRM itu sendiri.

SPRM kini diragui, sangat-sangat diragui. Kematian misteri Teoh hanya mengesahkan bagaimana tuduhan sebelum ini yang SPRM merupakan salah-satu jejari kekuasaan Umno-BN untuk mencemar dan mematahkan satu-persatu tengkok para pemimpin Pakatan Rakyat.

Sehingga esei ini ditulis, SPRM masih tidak menafikan dakwaan Ahli Majlis Perbandaran Kajang, saudara Tan Boon Hwa yang dilaporkan diperlaku tidak umpama oleh pegawai penyiasat SPRM–diugut, dipaksa berdiri berjam-jam dan membuat pengakuan palsu, diancam nyawa serta keselamatan anak-isteri dan keluarga beliau.

Kes penyelewengan jutaan dan ratusan juta dipendamkan, sementara ke arah Pakatan Rakyat disasarkan serangan. Bayangkan bagaimana siasatan tegas yang melibatkan ahli majlis perbandaran Kajang hanyalah atas tuduhan membeli 1, 500 helai bendera Malaysia. Inilah apa yang dinamakan sebagai “lawak seram”!

Kini jelas nyata SPRM adalah laksana serigala lapar yang mahu menerkam, menggugat dan merampas kerajaan-kerajaan Pakatan Rakyat.

Contohnya sudah ada di Perak, dengan dua ADUN Keadilan yang pada mulanya diseret dengan tuduhan menerima suapan berbentuk tunai dan habuan seks, tiba-tiba beralih menyokong Umno-BN di dalam DUN.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak dirampas dengan cara culik dan ugut. Juga serangan di Kedah sehingga menyaksikan pilihanraya kecil Bukit Selambau terpaksa diadakan.

Serangan komplot ini sempat terhala ke Pulau Pinang dalam kes yang melibatkan bekas timbalan ketua menteri yang dituduh menerima rasuah. Perangkap juga pernah dipasang di Bandar Tun Razak yang melibatkan Menteri Besar Selangor dalam kes “46 ekor lembu.”

Keadilan-Pas-DAP sekian lama serius untuk membenteras rasuah. Selama ini, rasuah adalah barah di dalam Umno, dan bukannya di dalam Pakatan Rakyat. Kerajaan Kelantan tidak tercemar oleh rasuah, meski sudah 15 tahun memerintah, dan memang 3 kali pilihanraya umum.

Pakatan Rakyat terus tegas melawan dan menentang rasuah, tetapi bukan dengan sandiwara mahupun merekayasa bukti dan pertuduhan. Lihat sahaja daripada kes “Pelabuhan Klang” sehinggalah “mahligai Khir Toyo” adalah kes berprofail tinggi. Ya, di mana SPRM?

Bagi yang dekat dan biasa dengan papan catur politik Umno-BN, agak mudah untuk membaca siapa yang membiayai plot-plot sandiwara ini–justeru tak satupun yang terlepas daripada pengetahuan dan restu Presiden Umno.

Tentulah bukan beliau sendiri yang perlu ke sana ke mari. Juga, siapa pula yang merendahkan harga diri bertindak sebagai macai (operator) penggerak dan bersumpah untuk menjayakannya.

Ceh! Betapa jelek dan jijiknya politik elit Umno!

Dalam sessi sidang parlimen awal tahun ini, satu isu dan konspirasi besar dibongkar ketua Pakatan Rakyat di parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ianya melibatkan “blue-print” khusus yang dikeluarkan pehak yang mahu merampas Selangor daripada tangan Pakatan Rakyat. Plot dan projek itu dengan biaya ribu juta ringgit.

Menteri Kewangan Kedua waktu itu tidak dapat menjawab soalan YB Azmin Ali berhubung peruntukan besar kepada beberapa jabatan dan agensi kerajaan yang akan digunakan di Selangor.

Broker politik Umno-BN yang lazimnya bising membebel sesama mereka mengutuk MP Pakatan, khususnya Anwar waktu bersembang di cafe, terdiam. Cuba buat-buat tidak mendengar apabila rahsia jahat bos-bos mereka cobor.

Selepas mengenali bagaimana SPRM dan sekian banyak agensi kerajaan diperkuda, ada asasnya untuk kita mempercayai kes kematian Teoh akan mendapat pembelaan yang adil. Sama seperti kes pembunuhan Altantuya Sharibuu… tak akan siapa yang waras dapat mengerti mengapa dua anggota polis berpangkat rendah itu perlu meragut nyawa Altantuya?

Ya, melihat kedudukan pangkat mereka, tak ada ‘faedah’-nya mereka melakukan pembunuhan itu. Untuk apa? Tapi, skrip ini adalah skrip di zaman Najib sebagai PM. Barangkali memang begitu. Modus operandi takkan jauh berbeda.

Bagi pemimpin Umno-BN, riuhnya hanya dua-tiga hari dengan sejuta janji manis… kemudian disenyapkan. Dialih pandangan rakyat dengan entah apa lagi gula-gula baru.

Sesungguh kita akan mengenang nasib anak muda yang dibaham nyawanya oleh segelintir yang terdesak dan desperado untuk kekal berkuasa. Kematiannya itu pula akan didiamkan sebagai satu “strategi politik” oleh puak pelampau dan menganggap darah orang yang berbeda bangsa, berbeda ugama dan berbeda faham politik adalah halal.

Politik cara Umno-BN inilah apa yang saya ungkapan sebagai “politik intrik” atau “politik gelap.” Lawannya adalah “politik idea” atau “politik pencerahan” yang jauh memberi manfaat kepada rakyat.

Julung kali perjuangan Reformasi selepas lebih sedekad, akhir telah memakan korban nyawa! Seluruh anak muda wajar mengirim sahabat kita ke pusara dengan baju pengantin yang kekal, sehingga rakyat bangun. Bangkit membela.

HASMI HASHIM

No comments: