KES KEMATIAN SDR. TEOH BENG HOCK DI BANGUNAN SPRM
Perkumpulan Pembantu Khas dan Peribadi
Kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat
Negeri Kedah Darulaman.
Kepada,
Yang Berbahagia Dato Seri Hj Ahmad Said bin Hamdan,
Ketua Pesuruhjaya
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
Blok D6, Kompleks D
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Peti Surat 6000
62007 Putrajaya, Malaysia. 21 Julai 2009
Melalui,
Tuan Idrus bin Jaafar
Pengarah,
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Kedah,
Tingkat 2, Blok B, Bangunan Persekutuan
Jalan Sultan Badlishah, Peti Surat 6000,
05720 Alor Star, Kedah.
Dato,
PENYATAAN SEDIH, KESAL, TERKEJUT SERTA KECEWA TERHADAP
KEMATIAN MISTERI SDR. TEOH BENG HOCK DI BANGUNAN SPRM .
Kami terdiri dari pembantu khas dan peribadi kepada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ingin membuat penyataan sedih, kesal, terkejut dan kecewa terhadap kematian misteri Sdr Teoh Beng Hock, Setiausaha Politik Exco Kerajaan Negeri Selangor yang ditemui mati, dipercayai jatuh dari bangunan pejabat SPRM jam 1.30 petang pada 16 Julai 2009 baru-baru ini selepas di soal siasat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia selama 11 jam.
2. Penyataan sedih, kesal, kecewa dan terkejut ini kami nyatakan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia kerana kematian Sdr Teoh Beng Hock adalah terlalu misteri yang masih dibawah jagaan SPRM dan kematian misterinya berlaku pula dibangunan SPRM. Persoalannya bagaimana perkara itu boleh berlaku?
3. Kami terdiri dari pembantu khas dan peribadi kepada kepimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah ingin menegaskan bahawa kami benci rasuah dan kami anti rasuah, sesuai dengan matlamat Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Kedah berusaha ke arah Sifar Rasuah kepada seluruh jentera kerajaannya. Namun persoalan yang timbul ialah kami sebagai pembantu khas dan peribadi sentiasa terdedah kepada fitnah dan konspirasi oleh pihak tertentu yang cuba menjatuhkan nama baik Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di negeri Kedah dengan menggunakan berbagai taktik dan strategi dan yang paling mudah ialah dijerat dengan kononnya melakukan rasuah.
4. Sekali lagi kami tegaskan bahawa kami benci dan anti rasuah dan berusaha sedaya upaya mengelak dari terjebak dalam kegiatan rasuah. Malangnya kami sekarang berada dalam keadaan yang cukup menggerunkan, terasa seolah-olah diekori, dipantau dan akan ditangkap bila-bila masa sahaja walaupun tidak pernah melakukan rasuah walau sesen pun, tetapi mungkin suatu hari nanti akan diminta juga hadir ke pejabat SPRM hanya semata-mata atas maklumat yang dilaporkan kepada SPRM tanpa sebarang bukti kukuh. Oleh itu kami merayu kepada pihak SPRM jika keterangan bersangkutan tugas SPRM terpaksa juga dilakukan kepada kami maka ianya hendaklah dilakukan di premis kami. Ini bukan bermakna kami tidak mahu memberi kerjasama untuk membenteras rasuah yang menjadi musuh negara, tetapi biarlah keterangan dari kes yang baru diperingkat pengumpulan bukti dilakukan bukan di premis SPRM, kerana kami amat bimbang kerjasama baik yang diberikan diakhiri dengan tragedi yang menyayat hati seperti yang berlaku pada 16 Julai 2009 yang lalu.
5. Walaubagaimana pun, jika SPRM mempunyai asas dan bukti yang kukuh selepas membuat siasatan di premis saksi atau tertuduh maka kami tidak mempunyai halangan untuk pegawai SPRM membawa mereka ke pejabat SPRM dengan syarat setelah mendapat perintah mahkamah dan mestilah dibenarkan ditemani oleh peguam demi memastikan keselamatan diri saksi dan tertuduh ketika berada di premis SPRM.
6. Mengenai kematian Sdr Teoh yang trajis dan misteri itu, pihak SPRM mestilah bertanggung jawab sepenuhnya dan tidak boleh berlepas tangan dan kami berharap pihak SPRM bersedia memberikan peluang kepada pihak berwajib dan berkepentingan melakukan siasatan yang menyeluruh.
7. Harapan kami pihak SPRM dapat menjalankan tugas selepas ini tanpa dilihat dan dirasai melakukan dakwaan terpilih dengan menangguhkan kes-kes profil tinggi sejak zaman berzaman.
Bersama Membenteras Rasuah Sehingga Keakar Umbi.
Yang benar,
1. Nama: ………………?………………………… Tandatangan: ……?………………...
Jawatan: …………………………………?………………………
No comments:
Post a Comment