SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Friday, July 17, 2009

CHUA LETAK JAWATAN PENGERUSI MCA BAHAGIAN..


Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng malam ini meletak jawatan sebagai Pengerusi MCA bahagian Bakri yang dipimpinnya sejak 1988 tetapi menolak desas desus yang mengatakan beliau akan keluar parti dan menyertai PKR.

Beliau menyerahkan tugas memimpin bahagian itu kepada timbalan pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan.

Chua sebaliknya meminta supaya semua anggota jawatankuasa MCA bahagian itu menyokong penuh kepimpinan presiden parti, Datuk Seri Ong Tee Keat, lapor Bernama.

"Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA bahagian Bakri malam ini.

Katanya beliau sudah memaafkan mereka yang mencabarnya dalam pemilihan tahun lalu, dan kini beliau hanya mahukan mereka memandang ke hadapan, jangan saling bertelagah disebabkan perkara-perkara kecil.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan tertutup dengan penyokongnya selama sejam di dewan bangunan ibu pejabat itu.

Bercakap mengenai masa depannya Chua berkata beliau akan meneruskan visi perjuangannya iaitu mahukan supaya kepimpinan kerajaan mengkaji semula Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan membela rakyat semua kaum dalam negara.

Beliau berkata matlamat perjuangannya yang terkandung dalam manifesto semasa bertanding untuk jawatan presiden MCA pada tahun 2005 dan 2008 lalu akan terus diperjuangkan sekalipun beliau tidak lagi memegang jawatan dalam parti.

"Saya percaya Malaysia boleh menjadi negara terkaya, lebih kaya daripada Singapura dan saya mahu kekayaan negara ini dikembalikan kepada rakyat semua kaum dalam negara," tambahnya.

No comments: