SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Friday, July 17, 2009

PENDEDAHAN CARA SPRM SOAL SIASAT......


JOHOR BAHRU: Matanya ditutup dengan tali leher sebelum ditumbuk, disepak dan dibogelkan. Itulah keadaan terpaksa dilalui seorang pembantu tadbir sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini, di dalam sebuah bilik gelap di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, kelmarin.

Mangsa tidak menyangka kehadiran dua pegawai SPRM yang menjemputnya di tempat kerja pada 7 Julai lalu untuk ke pejabat mereka bagi dirakam keterangan sebagai membantu siasatan satu kes rasuah membabitkan pegawai tertinggi PBT terbabit berakhir dengan penderaan.

Selain penderaan fizikal, mangsa yang berusia 29 tahun itu turut mendakwa sekumpulan tiga lelaki berada di dalam bilik soal siasat mengeluarkan kata-kata kesat berbaur penghinaan seperti bodoh dan sial apabila tidak berpuas hati dengan jawapan diberikannya.

Malah, detik yang amat perit dan meninggalkan kesan trauma dalam hidup lelaki berkenaan tidak berlaku sekadar dua atau tiga jam, tetapi terpaksa melaluinya lebih 12 jam.

Semuanya bermula apabila lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Zul itu dikunjungi dua pegawai SPRM Johor di pejabatnya di sebuah PBT di Simpang Renggam dekat sini, kira-kira 8.30 pagi 7 Julai lalu, yang mengkehendaki dia dan seorang lagi kakitangan memberi keterangan berhubung kes rasuah di pejabat agensi itu di sini.

Katanya, sebaik tiba di pejabat SPRM, dia diarahkan menanggalkan jam tangan, cincin dan menyerahkan semua barangan di dalam kocek seluarnya sebelum dibawa seorang pegawai memasuki sebuah bilik gelap.

“Seterusnya mata saya ditutup dengan tali leher dan diarahkan duduk ke atas kerusi sebelum tiga lelaki yang mula menyoal dengan nada serius.

“Mereka juga menyuruh saya mendedahkan berapa jumlah wang yang diterima seorang pegawai tertinggi tempat saya bekerja daripada beberapa orang kontraktor bagi menjayakan satu aktiviti lawatan sambil belajar ke Bandung, Indonesia pada 23 hingga 26 April lalu,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurut Zul, dia menerima pukulan sulung di kepala dipercayai menggunakan satu objek keras oleh seorang pegawai yang membuat soal siasat itu apabila dia memberikan jawapan tidak tahu menahu dan tidak menerima wang yang dimaksudkan itu.

Zul berkata, oleh kerana tidak berdaya untuk mempertahankan dirinya, dia terpaksa merayu kepada pegawai terbabit sambil bertanya kenapa dia diperlakukan sedemikian, tetapi rayuannya disambut dengan kata-kata kesat dan maki hamun pegawai terbabit.

“Saya kemudiannya diarahkan ke bilik seorang lagi pegawai di mana di situ, saya diberitahu bahawa saya adalah saksi kepada kes yang sedang disiasat SPRM itu.

“Malah pegawai berkenaan turut mengingatkan saya supaya tidak membongkarkan apa yang berlaku di dalam bilik gelap itu jika tidak mahu memalukan diri sendiri.

“Ketika itu jam 9 pagi dan saya melalui proses merakam keterangan sehingga jam 11 pagi sebelum dihantar semula ke pejabat oleh pegawai SPRM,” katanya.

Zul berkata, ketika di pejabat dia menemui rakannya yang turut dipanggil untuk memberi keterangan itu dan dimaklumkan dia tidak mengalami situasi penderaan di dalam bilik gelap itu.

“Oleh kerana berasakan diri saya diperlakukan dengan cara kejam oleh pegawai SPRM yang menyalahgunakan kuasa, saya membuat pemeriksaan kesihatan di Hospital Kluang tidak lama kemudian sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Katanya, oleh kerana kesal dengan insiden yang dilaluinya itu, keluarganya sudah melantik seorang peguam untuk membawa perkara yang memalukan serta melampaui batas itu ke peringkat mahkamah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Simi Abdul Ghani yang dimaklumkan berhubung insiden yang menimpa Zul itu berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan selanjutnya.

Katanya, pengadu mempunyai hak untuk membuat laporan polis berhubung dakwaan itu dan siasatan sewajarnya dilakukan jika terbukti dakwaan itu adalah benar dan telus.

“Pengadu berkenaan sudah membuat laporan polis, jadi kami serahkan kepada pihak berkuasa berkenaan untuk menjalankan siasatannya dan jika terbukti dakwaan itu benar, biar pegawai yang terbabit dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” katanya. (KedahLanie)

No comments: