SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH

Wednesday, February 2, 2011

PAS PADANG SERAI MINTA GOBALA LEPASKAN JAWATAN MP


PADANG SERAI, 2 Feb: Walaupun N Gobalakrishnan keluar dari PKR, namun bagi pemimpin PAS kawasan anggota Parlimen Padang Serai itu sudah keluar dari Pakatan Rakyat dan perlu melepaskan jawatannya sebagai anggota Parlimen.

Mereka meminta Gobalakrisnan 'nyah' dari Padang Serai dengan meletakan jawatan dan memberi mandat kepada rakyat memilih seorang ahli Parlimen yang benar-benar bertanggungjawab dan beretika.

Yang Dipertua PAS Padang Serai, Fauzi Tahir menyifatkan, penyertaan Gobalakrisnan ke bebas menyusahkan rakyat yang telah memberinya kemenangan atas tiket Pakatan Rakyat yang mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Bukan masa untuk bermain dalam politik sebaliknya nyah dari Padang Serai kerana kami dan rakyat yang prihatin tidak mahu melihat mukanya lagi ekoran sikapnya mengkhianat perjuangan, " jelasnya.

Beliau patut sedar dengan kedudukan tinggi itu semua merupakan hasil kepercayaan rakyat yang telah menolak Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum ke 12 lalu.

Ketua Dewan Pemuda PAS Padang Serai, Abu Tolib Yahaya pula berkata, Gobalakrisnan wajar letak jawatan atau menghadapi tekanan yang lebih dahsyat menerusi demontrasi aman nanti.

Rakyat sangat marah kerana tindakan itu merosakan imej Pakatan Rakyat ketika menghadapi pilihanraya umum ke 13 nanti.

"Pemuda PAS terpaksa mengadakan demontrasi aman bersama PKR dan DAP kerana tidak mahu seorang ahli Parlimen yang suka melompat tetapi mahukan seorang pejuang yang kuat dan teguh walaupun apa juga rintangan yang dihadapi, " tegasnya.

Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (MTD) Lunas, Haji Derani Wahab pula berkata, sewaktu Adun Lunas Radzi Salleh letak jawatan Gobalakrisnan adalah orang pertama menganjurkan ceramah menghentam tindakan Radzi tetapi kali ini beliau pula menuruti langkah yang serupa.

"Gobalakrisnan akan menghadapi gelombang rakyat yang memarahinya dan besar kemungkinan satu tindakan membantah langkahnya itu akan berkumandang. Kita tidak boleh sekat kerana itu adalah hak rakyat yang memberinya kemenangan, " tambahnya.

Sementara itu bekas Yang Dipertua PAS Padang Serai, Ustaz Azmi Abdullah mengingatkan, Gobalakrisnan agar lepaskan jawatan ahli Parlimen untuk diadakan pilihanraya kecil segera.

Bukan membiarkan parlimen ini diwakili oleh Ahli Parlimen Bebas yang akan melupakan tanggungjawabnya terhadap rakyat setelah kecewa dengan sikap parti yang disertainya.

Beliau juga harus sedar jelasnya, kedatangan Gobalakrisnan dulu hanya sehelai sepinggang dan PAS bekerja bersungguh-sungguh memastikan kemenangan.

"Saya sewaktu itu merupakan orang yang bertanggungjawab penuh memperkenalkan Gobalakrisnan dan membawanya ke semua lokasi berjumpa rakyat amat kecewa dan berharap beliau lepaskan jawatan Ahli Parlimen kerana kami tidak mahu melihat kelibatnya lagi di Padang Serai, " tegasnya yang lebih dikenali sebagai 'Ustaz topi merah'.-/HD

No comments: