Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu” (Surah at Taubah, ayat 128)
Bila menjelang sahaja 12 Rabiul Awal, maka kita umat Islam pasti terkenangkan Baginda Muhammad al Amin S.A.W kerana pada tarikh tersebut junjungan mulia dilahirkan. Sungguhpun begitu, mengingati Rasulullah SAW pastinya tidak sekadar khusus pada 12 Rabiul Awal semata-mata. Junjungan kita yang menyampaikan pesan wahyu itu haruslah dingati setiap waktu. Adalah dianjurkan kepada kita agar sentiasa berselawat keatas Baginda S.A.W sesuai dengan ayat 56 Surah al Ahzaab, “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat kepada Nabi, wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepada nya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.”
Mengenangi Sayyidina Muhammad S.A.W dan perjuangan Baginda itu moga menambah rasa kecintaan yang mendalam serta dirahmati pula dengan suri teladan buat menjadi pedoman. Justeru membaca sirah Nabi S.A.W sentiasa menenangkan saya manakala terus ditohmah rekayasa musuh. Kerana itu saya mengambil kesempatan merenung serta meneliti kesabaran Junjungan Besar berhadapan dengan dugaan. Kita pastinya tahu akan peristiwa Al-Ifk, kisah fitnah yang dilemparkan kepada Sayyidatina Aishah. Kesabaran Junjungan dan Sayyidatina Aishah berhadapan tohmahan besar itu memperkukuh iltizam saya dan sekeluarga untuk tidak lekang mengharap belas ihsan serta pertolongan Allah S.W.T.
Ternyata sudah lama keluarga saya berdepan dengan dugaan ini, namun apalah dibandingkan dengan ujian yang dikenakan ke atas para Anbiya dan mereka yang dekat dengan Allah S.W.T. Namun InshaAllah, diiringi doa saudara semua serta pertolongan Yang Maha Penyayang, fitnah ini akan lenyap jua. Marilah kita sama-sama mengambil iktibar dari pesan al Quran ini:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat, dan (ingatlah) Allah mengetahui(segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)” ~ Surah An Nur ayat 19
ANWAR IBRAHIM
No comments:
Post a Comment