SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Tuesday, September 1, 2009

Kisah penghuni Kampung Chulaborn 12


Kampung Chulaborn 12, atau Ban Chulaborn Patana 12, di Thailand bukanlah sebuah kampung biasa. Ia terletak jauh di dalam sebuah hutan, dengan pekan terdekat ialah Shukrin, kira-kira sejam memandu.

Jarak kampung tersebut dari pekan Golok ialah kira-kira 70 kilometer, tetapi kerana keadaan jalan yang tidak elok dan berbukit, menyebabkan perjalanan ke situ mengambil masa hampir dua jam.

Dan penduduk kampung tersebut adalah 'tetamu khas kerajaan Thailand' kerana mereka adalah bekas anggota Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (KPM).

Kampung itu sebelum ini merupakan pangkalan kem rejimen tersebut dan selepas perjanjian damai antara PKM, kerajaan Malaysia dan kerajaan Thailand pada 1989, mereka dibenarkan untuk terus menetap di situ.

Ketika itu, kampung berkenaan didiami kira-kira 260 orang, sebahagian besarnya anggota KPM dan keluarga masing-masing.


Hari ini, jumlah mereka bertambah kepada 460 orang, termasuk tambahan keluarga dan orang luar, dan mereka masih dibimbing oleh 'pelindung' mereka - Abdullah CD dan isterinya Suriani Abdullah.

"Ini adalah sebuah kampung yang cantik dan aman. Semua yang kami perlukan ada di sini. Hampir tiada langsung kejadian jenayah," kata ketua kampung berusia 52 tahun itu, bekas anggota komunis, Dome Za, dalam loghat Melayu Thai.

20 bekas veteran komunis

"Walaupun saya seorang ketua kampung, tetapi kami masih mendapatkan nasihat dari Abdullah dan Suriani mengenai pentadbiran kampung ini," tambahnya.

Kira-kira 20 pemimpin veteran komunis, semuanya rakan Abdullah, mendiami kampung tersebut. Hampir kesemuanya berasal dari Malaya.

Mereka menganggotai Rejimen ke-10 pada bulan Mei 1949 dan kemudiannya berpindah ke sempadan Thai-Malaya pada 1953, dan kekal di hutan tersebut sehingga perjanjian damai ditandatangani pada 1989.

Tetapi mengapa bekas pejuang gerila ini tidak pulang ke kampung halaman mereka?

Abdullah dan Suriani, yang telah beberapa kali melawat Malaysia, termasuk menghadap Sultan Perak, mahu menetap di kampung tersebut.


"Di sini tempat tinggal kami... Keluarga kami dan rakan-rakan kami juga tinggal di sini," kata Abdullah kepada Malaysiakini.

"Saya juga menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri serta beberapa lagi undang-undang di Malaysia. Saya tidak mahu mereka menangkap saya dengan mengguna apa juga alasan remeh," katanya ketawa sambil menepuk pahanya.

Anak kelahiran Sg Siput

Pengaruh pasangan tersebut di kampung berkenaan amat jelas sekali tetapi ia memang dapat difahami kerana mereka merupakan yang memimpin regimen tersebut selama bertahun-tahun mereka berjuang di hutan.

"Kami sedar bahawa masanya telah tiba bagi generasi muda untuk mengambil kepimpinan di sini. Kami juga sedar bahawa Abdullah dan Suriani semakin berusia dan tidak sesihat dahulu lagi," kata Dome.

"Kami pasti kehilangan mereka kelak bila kedua-duanya tiada lagi bersama kami, tetapi saya rasa kami akan dapat meneruskan kehidupan di sini," katanya.

Bagi yang lainnya, seperti pejuang veteran gerila, Asi (foto, kiri), Abdullah dan Suriani umpama ibu dan bapa mereka.


"Saya menyertai pergerakan itu ketika berusia 11 tahun dan saya telah mengenali mereka sejak saya berusia 13 tahun," kata Asi yang kini berusia 70 tahun dan dilahirkan di Sungai Siput dari keluarga India.

"Saya tidak dapat bayangkan kehidupan saya jika tidak tinggal di sini," kata Asi yang sudah berkahwin dengan seorang anggota komunis Thai dan dikurniakan seorang anak perempuan.

Selepas perjanjian damai, setiap anggotpa komunis yang mahu pulang ke Malaysia diberi RM300 sebulan selama tiga tahun oleh kerajaan Malaysia.

Jadi kampung angkat

Manakala mereka yang memilih untuk terus menetap di kampung itu, menerima bantuan kewangan dari kerajaan Thi sebanyak 540 baht (kira-kira RM54) sebulan selama tiga tahun, bersama sebuah rumah dan tanah seluas enam ekar.

"Kerajaan Thailand telah banyak membantu kami dan masih terus memberi sokongan," kata ketua kampung itu lagi

Tambahnya, Putera Thai, Chulaborn Mahidol menjadikannya sebagai kampung angkat dari 1993 hingga 2004 dan dalam tempoh tersebut, kampung ini mendapat bekalan air dan elektrik.

Hari ini, hampir kesemua rumah di situ mempunyai peti televisyen yang disambung ke batang antena panjang untuk mendapat siaran yang lebih terang. Satu dua rumah mempunyai akses internet dengan menggunakan penerima satelit.

Juga terdapat sebuah klinik kerajaan di situ dengan seorang pembantu hospital pada setiap hari bekerja.

Sebuah muzium yang mempamerkan sejarah perjuangan Rejimen ke-10 merupakan tempat yang wajib dilawati tetapi ia memerlukan bantuan kewangan untuk terus beroperasi.

Mereka juga mempunyai sebuah sekolah rendah untuk kanak-kanak kampung tersebut dan kampung-kampung berhampiran. Pengambilan tahun ini berjumlah seramai 88 murid.

Melangkah ke menara gading

"Enam pelajar dari kampung kami sedang menuntut di universiti di Thailand, Mereka merupakan kumpulan pertama melangkah ke universiti. Juga terdapat kira-kira 100 kanak-kanak dari sini yang belajar di sekolah menengah di luar kampung ini, sama ada di Narathiwat atau di tempat lain di selatan Thai, kata Dome.

Anaknya adalah salah seorang daripada mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti.

Sebahagian besar penduduk itu mengusahakan tanah mereka dengan tanaman getah dan pokok-pokok buah-buahan tetapi mengadu hasil tidak memuaskan kerana terlalu banyak buah dihasilkan dan hasil getah pula tidak seberapa kerana keadaan cuaca.

"Namun, kami masih boleh memanggil tempat ini sebagai kampung halaman kami. Di Malaysia, kami tidak ada apa-apa... hanya nama buruk ekoran pembohongan kerajaan terhadap sumbangan kami, walaupun kami telah berjuang menggadai nyawa untuk Malaya," kata seorang pejuang veteran gerila, Shukor Ismail, 80.

"Walaupun saya tidak ada kaitan darah di sini... semua ini adalah teman seperjuangan saya, rakan saya dan saya mahu bersama mereka hingga ke akhir hayat," katanya.

Namun, bagi Shukor, Malaya adalah negaranya, "saya cintakan Malaysia, jika tidak, masakan saya berjuang dan sanggup menggadai nyawa saya untuknya," tambahnya.

Bagaimanapun, kata Shukor, beliau lebih selesa menetap di Thailand sekarang.

"Bukan kerana mereka menjaga kami dengan baik tetapi juga kerana bimbang bagaimana penerimaan terhadap kami jika kami pulang (ke Malaysia).

"Kerana sebab itulah, kami tidak mahu pulang ke Malaysia, kampung halaman yang kami cintainya," katanya dengan nada sedih dan kecewa.

Dan itu juga merupakan sentimen hampir kesemua veteran komunis di kampung tersbut walaupun ada antara mereka yang sering menghubungi keluarga mereka di Malaysia.

malaysiakini

No comments: