SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Saturday, July 4, 2009

KUTIPAN DERMA BANTU PELAJAR (UM)

Kumpulan pelajar Islam di empat universiti awam utama di Lembah Kelang sepakat melancarkan kutipan derma untuk membantu dua pelajar Universiti Malaya (UM) yang dihadapkan ke mahakamah atas tuduhan menconteng, cubaan membakar dan menceroboh dewan.



Selain Persatuan Mahasiswa Islam UM (PMIUM) yang akan mengutip dana mulai minggu depan apabila semester baru dibuka, kempen itu turut disertai PMI Universiti Putra Malaysia (UPM), Ikatan Studi Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Maaruf Universiti Islam Antarabangsa (UIA).


Kumpulan pelajar Islam UKM dan UPM akan mengutip derma minggu depan, manakala di UIA kempen tersebut bermula kelmarin, sehari selepas dua pelajar Akademi Pengajian Islam (API) UM dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.


Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli - kedua-duanya pelajar API - dituduh mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat yang menyebabkan kerosakan sekurang-kurangnya RM25.


Kedua-duanya juga dituduh bawah Seksyen 436 kanun yang sama iaitu kesalahan khianat dengan api atau benda letupan dengan niat merosakkan harta benda.


Seksyen 427 membawa hukuman dua tahun penjara, sementara Seksyen 436 mengakibatkan maksimum 20 tahun penjara.Kesalahan itu juga boleh didenda, jika disabitkan.


Mereka didakwa menconteng dinding dewan tersebut, selain menyimbah petrol di permaidani dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000.


Kes mereka akan disebut semula pada 13 Julai ini.


Naib Presiden PMIUM, Mohd Aizat Mohd Salleh berkata, pihaknya akan memulakan kutipan derma itu dari kalangan ahlinya bagi membantu membiayai kos guaman kedua-dua pelajar terbabit."PMIUM mempunyai kira-kira 1,000 orang ahli.


Kutipan derma itu dijangka dimulakan minggu hadapan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.Peristiwa ISA7Mohd Aizat yang juga exco Majlis Perwakilan Mahasiswa UM (MPPUM) berkata, kutipan derma itu dijangka diperluaskan kepada pelajar univerisiti tersebut.


Bagaimanapun, katanya, pihaknya belum membincangkan kaedah dan pelaksanaan kutipan tersebut.Di samping itu, Mohd Aizat berkata, MPPUM akan membuat rayuan kepada Naib Canselornya Prof Ghauth Jasmon untuk membolehkan kedua-dua pelajar terbabit meneruskan pengajian apabila semester baru bermula minggu depan.


"Kita akan minta kepada pihak universiti supaya membenarkan mereka terus belajar walaupun akan dibicarakan. Syarat-syaratnya terpulang kepada pihak universiti.


"Cuba bayangkan dibicarakan selama 10 tahun, dan tidak (dapat) belajar, kemudian tidak didapati bersalah...," kata Mohd Aizat yang tidak mahu peristiwa ISA7 berulang kembali.


"Kita juga minta pihak universiti turut bertanggungjawab terhadap keselamatan Izzuddin dan Syahruldeen. Universiti mesti bebas dan tidak boleh tunduk dengan pihak-pihak tertentu," katanya.


Ditanya mengenai tiga pelajar yang menjadi suspek berhubung kejadian tersebut, Mohd Aizat berkata, beliau tidak mengetahui di mana mereka berada dan bersedia membantu siasatan polis

No comments: