SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Wednesday, October 28, 2009

AZIZ BARI BERKATA-KATA LAGI......


Saya menyinggung politik dalam Pas kerana saya melihat parti ini penting dalam Pakatan Rakyat. Dan Pakatan pula penting dalam politik baru Malaysia. Seterusnya politik baru ini kritikal dalam membina sistem dua parti yang akan menentukan sama ada perlembagaan kita dapat diperkasakan atau terus dimanipulasi untuk kepentingan politik sebagaimana yang kita saksikan selama ini.

Sesiapa yang menafikan bahawa perlembagaan telah dikembirikan selama 52 tahun ini adalah jahil dan menipu dirinya sendiri. Selain tindakan UMNO, istana dan mahkamah dalam krisis politik di Perak apa yang dilakukan sejak merdeka juga sebenarnya telah menghambat perkembangan kemerdekaan. Jika ada yang tidak percaya silalah teliti laporan Suruhanjaya Reid dan draf yang mereka sediakan dan bandingkan dengan dokumen perlembagaan yang ada hari ini. Kaji juga keputusan-keputusan mahkamah sejak merdeka.

Memang Pakatan belum tentu tidak jadi macam Barisan Nasional. Tapi saya fikir kita perlu realistik dan beri mereka peluang. Jika mereka gagal kita akan letakkan kembali Barisan di tempatnya sekarang. Dalam sistem demokrasi yang kita amalkan ini sahaja cara yang kita boleh lakukan.

Inilah gambar besar yang kita harus perhatikan. Bukan soal remeh temeh yang para pencacai politik cuba paparkan dalam blog-blog mereka. Apakah Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah nyanyuk dan menyusukan kera di hutan tidak relevan. Begitu juga dengan mereka yang cuba menonjolkan betapa Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi mangsa dan perlunya orang baik ini dipertahankan.

Rakyat yang sedar kepentingan negara tidak bicara soal individu. Kita bicara soal arah dan masa depan negara. Tentang perlunya sistem negara ini diperbetulkan. Proses ini sudah pasti panjang dan berliku. Apa yang berlaku dalam Pas adalah salah satu daripada mata rantainya. Proses sama sudah bermula dalam PKR. Ini baik. Tak perlulah kita bertengkar tentang namanya. Kalau nak kata krisis pun katalah. Yang penting ia ubat yang akan menyembuhkan penyakit-penyakit yang ada.

UMNO baru sahaja mendapat suntikan baru dan ia pastinya tak senang dengan perkembangan itu. UMNO mahu Pas terus kekal dengan bisul yang sekarang cuba diubati oleh Nik Aziz. Sebab itu media miliknya ramai-ramai mengatakan bahawa krisis Pas dan PKR itu adalah tanda bahawa musuh ketat mereka sudah mula buang tabiat. Sebagaimana orang Pas dan PKR mengejek pergelutan dalam UMNO. Sebagai rakyat yang prihatin kepada hidup mati negara kita tidak harus terjebak dengan gelagat dan permainan ahli-ahli politik seperti mereka. Kita perlu fokus kepada gambar besar tadi. Kita perlu lupakan soal-soal yang tidak wujud dan remeh seperti kedudukan dan perpaduan Melayu, Islam dan macam-macam lagi. Lagipun sejak bila yang UMNO prihatin sangat dengan Melayu dan Islam ini?

Gambar besar yang dikatakan tadi merujuk kepada imej Pas dan ini berkait dengan persepsi rakyat kepada parti itu. Dalam senario dan landskap yang ada sekarang Pas cuma boleh mendapat sekitar 40 peratus undi Melayu. Ini bermakna ia perlu mengekalkan sokongan bukan Melayu jika hendak mengekalkan kedudukannya sekarang. Ini bukan soal menjual maruah Melayu dan Islam. Sebaliknya ia adalah cabaran kepada Pas bagaimana hendak menjelaskan konsep-konsep negara kebajikan dan Pas untuk semua yang telah dimulakannya. Abdul Hadi gagal di sini. Atau memang tidak mampu. Dalam keadaan sebegitu dia dan kawan-kawannya sembunyi-sembunyi berkira dengan UMNO.

Kita tak peduli apa namanya. Kita juga tak peduli sama ada mereka masih lagi meneruskannya atau tidak. Yang jelas aktiviti itu telah membolehkan UMNO memberikan ciuman maut buat Pas dan sekarang virusnya merebak dalam parti. Ia menyebabkan syak wasangka dan menimbulkan kemarahan bukan Melayu. Abdul Hadi dan kumpulannya perlu ingat bahawa UMNO mahu memujuk bukan Melayu dan sekiranya Pas boleh digambarkan berada bersamanya itu sudah cukup baik. Dalam keadaan itu hanya tinggal DAP dan PKR sahaja yang perlu ditangani.

Imej Pas sudah tercalar dan Nik Aziz sebagai seorang pemain yang licik dapat menghidunya. Abdul Hadi dan kawan-kawannya semacam terlupa siapa yang mengundi mereka dalam PRU ke 12. Jika tidak masakan Datuk Dr Hassan Ali terus berdegil dan cuba menjaringkan gol sendiri! Saya sudah beritahu bahawa beliau boleh lakukan apa yang dibuatnya itu. Tapi kenalah letak jawatan dan jadi penyokong kerajaan sahaja.

Sehingga ini nampaknya usaha Nik Aziz belum disekat secara rasmi meskipun ada suara-suara yang mempersoalkan. Tak kiralah apa cara dan namanya. Muktamar khas atau sekadar mesyuarat majlis syura atau mesyuarat jawatankuasa agung membincangkan isu itu. yang penting persepsi rakyat diperbetulkan sebelum pilihan raya kecil yang akan dating. Dalam senario politik yang ada sekarang pastinya UMNO gian hendak bertanding. Saya fikir orang Pas dan Pakatan takut sekarang. Saya dapat tahu Nasrudin Hassan ada berkata tidak takut berlengan di Bagan Pinang. Tetapi inikah jenis kepemimpinan yang hendak kita pamerkan?

Oleh kerana isu besar yang hendak ditangani berkait dengan imej dan persepsi saya fikir elok Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pecat Hassan Ali dari kerajaan kerana kesalahannya cukup besar dan cukup jelas: melanggar perlembagaan negara dan negeri. Memang ini tak pernah dilakukan oleh UMNO Barisan. Tetapi inilah yang hendak ditunjukkan; yakni bahawa Pakatan serius dalam mendaulatkan perlembagaan yang menjadi tunjang dan nadi kepada demokrasi dan apa sahaja yang bersifatkan merakyatkan di negara ini. Saya tak fikir ada siapa yang boleh menghalang. Lagipun bukankah telah ada ketetapan yang menyekat gelagat seperti yang dilakukan oleh Hassan Ali itu? Di sisi undang-undang itu kuasa mutlak Khalid. Kalau Khalid tidak buat dia boleh dipersalahkan kerana tidak menjunjung perlembagaan.

Berbalik kepada Pas Datuk Seri Azizan Razak dikatakan tidak berminat. Mungkin itu cara orang politik: malu tapi mahu. Lagipun takkan dia hendak kata mahu. Pas perlu paksa Azizan. Lagipun dalam parti ramai yang kuat-kuat dan bertenaga. Khalid Samad contohnya. Dan ramai lagi.

Oleh sebab yang menjadi masalah ialah imej maka mereka yang terpalit dengan imej-imej yang negatif itu kenalah berundur. Ini bukan soal sudah tak buat kerja itu atau sudah bertaubat. Yang penting imej parti sudah rosak dan dalam politik hukumannya ialah letak jawatan dan beri laluan kepada orang lain. Saya tahu orang Pas ada yang marah. Tetapi mereka kena fikir bahawa itulah risiko yang perlu diambil apabila parti dirakyatkan. Dahulu mereka ejek UMNO. Sekarang baru mereka tahu susahnya mentadbir parti yang besar. Apa yang menjadi masalah sekarang ialah ada orang Pas yang berfikir seperti zaman Pas masih parti kecil dahulu. Mereka inilah yang gagal meletakkan keutamaan. Bagi mereka yang berfikiran sempit ini apa sahaja cadangan untuk memperbaiki parti akan dilihat sebagai agenda anasir UMNO yang menyusup ke dalam parti.

Apakah Pas akan pecah? Saya tak fikir begitu. Dan saya tak fikir saya yang kerdil ini boleh menggoncang Pas. Lainlah kalau Pas ini harimau kertas. Sejarah politik ini cukup jelas bahawa parti serpihan tak lama. Pas bukan parti serpihan. Kalau pemimpin tertentu disingkirkan pun saya tak fikir akan ada yang ikut. Mungkin mereka akan merajuk beberapa hari. Lepas itu mereka akan balik. Kalau dalam UMNO pun begitu apalagi dalam Pas. Lagipun para pemimpin bermasalah yang disebut oleh Nik Aziz itu bukan hero; kebanyakannya sakit nak menang pilihan raya. Jadi kalau letak jawatan atau disingkirkan pun tidak akan ada kesan pada parti. Orang Pas tak perlulah percaya ramalan dan analisis media UMNO.

Ada juga yang mempersoalkan tidakkah penyingkiran bermakna membelakangkan keputusan perwakilan muktamar yang membuat pemilihan? Saya fikir ini tidak timbul kerana kita bukan mempertikaikan keputusan pemilihan. Kita mengatakan ada di antara yang terpilih telah gagal. Dan kita cadangkan supaya diminta berhenti atau letak jawatan. Kalau Pas berdegil dan tidak mahu membuat anjakan tunggulah keputusan rakyat nanti.

Apakah perubahan drastik itu semestinya menyelesaikan kelesuan? Kita tidak tahu. Tetapi apa yang penting sesuatu perlu dilakukan kerana jika Pas tidak berbuat apa-apa ia telah melakukan dua kesalahan; yakni sudah sedar ada sesuatu yang tak kena tetapi tidak berbuat apa-apa. Apa pun pemimpin baru itu akan diadili juga. Tidakkah kita beroperasi dalam sistem demokrasi?

GB

No comments: