SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Thursday, October 22, 2009

AZIZ SAHABAT SEJATI-HANIPA


Saya boleh memahami betapa marahnya Ustaz Idris Ahmad terhadap tulisan Dr Aziz Bari di dalam Sinar Harian bertarikh 19/10/2009 ('Pengajaran dari Bagan Pinang').

Saya percaya Ustaz Idris tidak bermaksud memperkecilkan kehebatan Prof Aziz Bari yang kita tahu seorang Profesor yang bukan sahaja mendalam ilmunya tetapi amat berani dan lantang menyatakan kebenaran.

Kekerasan sahabat saya Ustaz Idris Ahamd menyanggah tulisan Dr Aziz Bari bagi saya mungkin terbit dari keletihan beliau berkempen secara intensif di Bagan Pinang.

Sudahlah penat berkempen dan berhadapan pula dengan samseng-samseng Umno dan seterusnya mengalami kekalahan yang besar tiba-tiba Dr Aziz Bari pula mengkritik PAS.

Tidak dinafikan saya rasa bukan sahaja Ustaz Idris malahan mungkin ramai juga pemimpin PAS yang lain yang turut berkongsi sentimen seperti Ustaz Idris.

Saya juga pemimpin PAS Pusat. Namun saya tidak sama sekali marah jauh sekali melenting dengan teguran dan kritikan Prof Aziz Bari. Malahan sebagai pemimpin PAS saya benar-benar berterima kasih dengan teguran dan kritikan beliau.

Saya yakin tulisan beliau tidak mempunyai unsur mala fide (niat jahat). Tulisan tersebut, bagi saya, lahir dari hati suci beliau untuk melihat supaya PAS membuat koreksi diri agar tidak kecundang dalam pilihan raya yang akan datang.

Tulisan itu saya yakin lahir dari satu pengamatan beliau yang amat panjang tentang beberapa insiden yang berlaku dalam PAS yang diketahui umum.

Pemimpin gerakan Islam Al-Nahdah, Tunisia yang kini hidup dalam buangan di London, Rashid Ghanouchi pernah menyatakan di dalam satu tulisannya bahawa kesilapan paling besar gerakan Islam ialah adalah ketidaksediaan atau keberatan untuk bermuhasabah dan dimuhasabah.

Orang bijaksana berkata kawan yang sebenar adalah kawan yang sudi menegur kita jika dia melihat kita melakukan kesilapan. Kawan yang buruk pula adalah kawan yang hanya mendiamkan diri malahan menyokong pula meskipun dia tahu kita melakukan kesilapan.

Saya tidak kata tulisan Dr Aziz Bari adalah sempurna dan saya juga yakin beliau juga tidak berpendapat teguran dan kritikan beliau adalah sempurna. Tidak dinafikan kenyataan beliau bahawa "Hasan (Hasan Ali) dilihat mewakili golongan yang pro-UMNO dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokonng mereka" agak menyenakkan sesetengah pemimpin PAS.

Namun jika kita melihat dari perspektif lain, salahkah jika Dr Aziz Bari sebagai pihak di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu.

Politik, orang kata adalah berkaitan persepsi. Saya percaya bukan sahaja Dr Aziz Bari malahan ramai lagi rakyat Malaysia yang lain yang juga mempunyai persepsi seperti Dr Aziz Bari iaitu persepsi bahawa sesetengah pemimpin PAS adalah pro Umno.

Kerana kesan bahaya persepsi sebegitulah yang menyebabkan Muktamar PAS berhempas pulas membuat ketetapan dan penegasan bahawa PAS tidak akan ada hubungan dengan Umno dan akan terus bersama Pakatan Rakyat. Kalau kita tidak mahu dilihat dan dikritik pro Umno janganlah buat perkara-perkara yang menyebabkan orang ramai membuat tanggapan bahawa kita adalah pro Umno.

Adakah persepsi lahir begitu sahaja? Salah ke jika orang-orang di luar PAS mempunyai persepsi sebegitu setelah mereka melihat apa yang berlaku di dalam PAS � melalui tindak tanduk, kenyataan dan gelagat sesetengah pemimpin PAS.

Bagi saya sudah sampai masanya pemimpin PAS, mengambil istilah kata Khairy Jamaluddin, keluar dari 'siege mentality' (mentaliti terkongkong). Sila lihat di luar sana, orang ramai sedang memerhatikan kita !!!

Salahkah kita menjadi pendengar yang baik (good listener) demi kebaikan parti yang kita sayangi ini.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Dr Aziz Bari. Prof, percayalah bagi saya kamu adalah sahabat yang sejati. -Hanipa Maidin

GREENBOC

No comments: