SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Monday, October 12, 2009

MUHASABAH DIRI ITU PENTING

Kekalahan teruk PAS di Bagan Pinang, antaranya, berpunca daripada kegagalan parti itu dan dua lagi rakannya dalam Pakatan Rakyat memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengundi di negeri yang dimenangi mereka.

"Sejauh mana kita serius berkhidmat di estet-estet? Ini pengalaman saya bersama Kelab Penyokong PAS (KPP).

"Orang India inilah yang beri sokongan kepada kita. Kalau kita tidak serius, (kecuaian) itu tidak baik," kata ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau, yang juga pengarah operasi PAS untuk pilihan raya kecil itu, diminta mengulas prestasi buruk parti itu di kerusi DUN tersebut semalam apabila, sekurang-kurangnya, gagal mengurangkan majoriti BN.

Ahli parlimen itu berkata sikap Pakatan yang hanya mendatangi pengundi di saat akhir menjelang pilihan raya mestilah dihindari jika PAS dan gabungan pembangkang mahu terus mendapat kepercayaan rakyat.

Dr Dzulkefly mengakui, isu-isu berbangkit di peringkat nasional – seperti kontroversi penjualan arak di Selangor dan perobohan rumah di Kg Buah Pala, Pulau Pinang – sedikit sebanyak memberikan kesan penduduk di kawasan-kawasan lain.

"Kita tidak boleh lagi membuat andaian bahawa isu di peringkat (sesebuah) negeri dan pusat tidak membawa kesan di negeri lain," katanya, diminta mengulas analisis ringkas akhbar web rasmi parti Harakahdaily.

“Jangan ingat apa yang berlaku di Kedah tidak ada kesan di Bagan Pinang. Ada (kesan).”

Akhbar web itu dalam analisis segera sejurus selepas keputusan diumumkan menyebut, pengundi Cina di Bagan Pinang menolak parti Islam kerana tidak berpuas hati terhadap beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor.

Bagaimanapun, laporan itu menyebut, kesahihan maklumat itu hanya dapat dipastikan apabila analisis keputusan penuh pilihan raya itu diperolehi.

malaysiakini

No comments: