SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Friday, October 23, 2009

BULUH MAS JADI BULUH BETONG

Dua beranak yang merupakan pengarah Syarikat Buluhmas Enterprise Sdn Bhd semalam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berasingan di Klang bagi 69 pertuduhan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram melibatkan RM22 juta.

Azmi Ame Hamzah, 26, menghadapi 38 pertuduhan melakukan kegiatan itu dari 3 Mac 2008 hingga 6 Jan tahun ini manakala bapanya Ame Hamzah Mat Atar, 51, menghadapi 31 pertuduhan melakukan kegiatan itu dari 15 Mei 2008 hingga 6 Jan lepas, mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Mereka berdua yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu didakwa menggunakan hasil daripada kegiatan itu untuk membeli sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional, membeli beberapa rumah kedai di Kedah dan Terengganu, membayar deposit kenderaan dan kereta mewah, membeli unit-unit amanah dan sebuah banglo di Terengganu.

Azmi juga menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu menerima deposit tanpa lesen yang sah dari 14 Dis 2006 hingga 13 Okt 2008 dan dari 14 April 2008 hingga 13 Okt 2008 mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi Kewangan 1989 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM10 juta atau kedua-duanya.

Hakim Yong Zarida Sazali membenarkan Azmi diikat jamin RM200,000 bagi kesemua tuduhan dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis Tanjung Karang pada setiap satu haribulan sehingga kes selesai.

Hakim Datuk Anita Harun pula membenarkan Ame Hamzah diikat jamin RM350,000 dan perlu melapor diri di Balai Polis Tanjung Karang pada setiap satu haribulan sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 21 Dis untuk sebutan semula kes manakala kedua-dua beranak itu diwakili peguam Mohd Yunus Sharif. BERNAMA

No comments: