Reformasi ’98 memperkenalkan rakyat kepada sekumpulan anak muda yang gigih bersama DS Anwar. Antara nama penting yang mula dikenali pada waktu itu ialah Azmin Ali, Ezam Mohd Nor, Saifuddin Nasution dan Lokman Noor Adam. Zahid Hamidi yang dibantai DS Dr. Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO 1997 beralih kesetiaan politik selepas dibebaskan. Ya, ada sebilangan nama lain juga.
Mereka-mereka ini adalah anak muda yang telah bersama DS Anwar untuk sekian waktu. Yang paling lama tentu saja Azmin Ali sebagai Setiausaha Sulit. Ezam pada waktu itu hanya sekitar 4 tahun bertugas sebagai Setiausaha Politik DS Anwar. Dia sebelum itu bertugas sebagai Timbalan Pengarah Institut Kajian Dasar (IKD), sebuah institut yang dikaitkan rapat dengan DS Anwar. Di sanalah kelompok ‘elit’ anak muda dilatih sebelum Reformasi ’98, termasuk sebahagiannya menjadi YB baik untuk BN atau PR.
Saya hanya kenal Ezam dari jauh pada waktu itu tetapi saya dapat mengesan bahawa kehadiran Ezam diterima ramai sebagai ‘jelmaan’ DS Anwar. Umum menerima Ezam sebagaimana kata Anwar “jika seorang Anwar terpenjara, 1000 ‘Anwar’ akan bangkit”. Dari pidato, sosok yang cergas dan latar belakang sebagai Setpol DS Anwar – ia cukup untuk melonjakkan nama Ezam di persada politik Malaysia. Ezam mula dikenal sebaik ‘lari’ ke luar negara dan mengkritik DS Dr Mahathir secara keras.
Tentu ramai masih ingat bagaimana jentera kerajaan lekas memburukkan Ezam kerana memburukkan DS Dr Mahathir dari luar negara. Ezam lekas menjawab dengan mengambil petikan berita bagaimana DS Dr Mahathir telah lama memburukkan Tunku Abdul Rahman dari luar negara. DS Dr Mahathir, sebagaimana baru-baru ini juga mengatakan DS Anwar sebagai pencetus budaya demonstrasi. Ia hanya sekadar justifikasi bahawa DS Dr Mahathir kadangkala mudah lupa.
Ketika ‘aktif’ bergaul dengan kalangan aktivis mahasiswa (meskipun jujurnya saya reluctant untuk dipanggil aktivis mahasiswa, kerana saya percaya saya lebih banyak bergerak sebagai individu justeru sumbangan saya agak terhad), saya berpeluang bertemu dan berdialog dengan Ezam. Sebelumnya hanya sekadar pernah melihat. Saya kira, ia menguatkan pandangan saya bahawa masa depan politik Ezam sangat cerah.
Ia juga menguatkan pandangan ramai yang saya pernah dengar sebelumnya, bahawa Ezam lebih mudah didekati berbanding Azmin Ali. Namun, ada segmen dalam arus reformasi dan parti politik melihat sumbangan Azmin lebih strategik berbanding Ezam. Jarang kedengaran ada pihak yang melihat gandingan Azmin dan Ezam sebagai sinergi atau saling melengkapi.
Ezam, untuk saya mendapat kredit besar kerana mengekalkan hubungan mesra dengan kalangan reformis yang tentu saja kurang berkepentingan politik jawatan dan lebih lantang bersuara. Namun, dalam tempoh itu, lebih awal saya pernah bertemu Azmin dan pegawainya. Ia lantas mengukuhkan pandangan saya bahawa Azmin memang seorang strategis.
Ezam sebelumnya di penjara, dan ia dilihat sebagai pembeza pengorbanan Ezam dan Azmin. Namun, ada segmen berpendapat orang yang bijak berjuang tidak semestinya ditangkap. Saya difahamkan Ezam memang ada campur tangan dalam memastikan pemangkunya Saifuddin Nasution tidak dapat bergerak lancar menguruskan Pemuda Keadilan pada waktu itu. Khabar juga bertiup bahawa Ezam mengaturkan satu hijrah Pemuda Keadilan untuk menyertai UMNO.
Selepas itu, saya bertemu Ezam sekali lagi selepas menang Pilihan Raya Kampus. Perjumpaan itu hanya satu kebetulan ketika saya mahu mengambil beberapa buku daripada Amir Sari. Waktu itu Ezam ada bersama Tian Chua. Saya difahamkan bahawa Ezam mahu meletakkan jawatan Ketua Pemuda Keadilan, namun hajatnya ditolak oleh DS Wan Azizah. Tempoh 2 tahun diberikan di mana Shamsul Iskandar memang disebut sebagai calon pengganti. Keadilan memang berhajat untuk memiliki Ketua Pemuda yang berusia 35 tahun ke bawah.
Penggabungan PKN dan PRM (maksud saya tokoh-tokoh utama PRM) dalam tempoh itu telah memberikan wajah berbeza kepada fasa perjuangan reformasi melalui wadah parti. Muncul konflik baru di mana fraksi-fraksi dalam parti bergelut. Kelompok ABIM, JIM, PRM, NGO lain, bekas UMNO disebut sebagai terlalu rencam. Masing-masing mahu kepentingan mereka dijaga. Tidak ada kesungguhan yang jitu untuk duduk merumuskan keutamaan.
Saat Ezam keluar dari penjara, beliau berhadapan dengan serangan Lokman Noor Adam. Pertentangan dua peribadi ini tidak lain dan tidak bukan ialah soal duit!
Apabila Ezam mengambil keputusan meletakkan jawatan Ketua Pemuda Keadilan, saya kira ramai yang melihat itu sebagai zaman suram parti. Saya kira Ezam telah memberi justifikasi yang kuat untuk melepaskan jawatannya. Pengumuman Ezam untuk menubuhkan Gerakan Anti-Rasuah dan Korupsi (GERAK) disambut penuh tanda tanya – adakah parti gagal berfungsi untuk tujuan yang sama? Alasan Ezam mudah – untuk lebih fokus. Dalam siri pertemuan lanjut saya bersama Ezam, saya melihat Ezam mempunyai justifikasi yang jelas, terutama alasan memperkuat gerakan masyarakat sivil melalui GERAK.
Dalam Pilihan Raya kecil Ijok, Shah Alam menjadi penyelaras gerak kerja di sana. Di sanalah bermula ramai aktivis parti menghidu ada yang tidak kena dengan gerakan Ezam. Tidak nampak kesungguhan yang nyata bahagian Shah Alam menyelaraskan gerak kerja di sana. Pada waktu itu juga timbul fraksi kempen untuk Ketua Pemuda PKR yang baru dan ia cukup untuk memporak-perandakan gerakan parti.
Kerja tahan bas di Ijok juga dilihat sebagai wayang. Ezam hanya bercakap atas kapasiti Pengerusi GERAK, walhal beliau adalah Ketua Pemuda PKR dan calon PKR sedang bertanding di Ijok. Ketika sebilangan aktivis mendapat berita bahawa Ezam dan Khairy Jamaluddin sedang berada di dalam balai merundingi isu bas yang ditahan, mereka sudah menjangka bahawa kes ini tidak akan ada hasil lanjut kerana Ezam dan Khairy adalah ‘regu baru’ bagi mereka.
Dalam siri mesyuarat GERAK yang saya hadir, saya menemukan retorika yang berubah-ubah – dari kenyataan berprinsip kepada sikap politik peribadi. Jelas bahawa Ezam mempunyai ‘dendam peribadi’ kepada Azmin Ali. Ezam bertambah marah apabila PKR memutuskan hubungan dengan GERAK. Adu domba Ezam untuk memburukkan imej DS Anwar, Azmin dan PKR mula muncul dari cakap-cakapnya semasa mesyuarat. Saya juga tidak begitu selesa dengan persekitaran yang melihat GERAK sebagai batu loncatan semata-mata untuk transisi politik.
Dalam pertemuan awal kami, Ezam lekas mengatakan bahawa kenderaan yang dipakai sekarang adalah ‘pinjaman’ seorang tauke Cina untuk memudahkan beliau bergerak. Kebenarannya ada di luar sana.
Yang saya ingat, kenyataan saya dalam mesyuarat adalah jelas. Saya mengkritik pendekatan GERAK yang terlalu bersifat politik. Sebuah NGO seharusnya lebih menumpukan kekuatan kepada latihan dan penyelidikan.
Kali terakhir, saya mengaturkan satu pertemuan Ezam bersama aktivis-pemikir mahasiswa di Bangi. Ketika itu himpunan BERSIH hampir berlangsung dan Ezam minta pertemuan kami dibuat selepasnya. Dakwanya bahawa beliau diekori oleh Special Branch (SB) justeru beliau tidak mahu kami mendapat tempiasnya. Dan pertemuan terakhir itu saya masih ingat, tidak lama sebelum beliau mengumumkan keluar dari PKR dan memohon menyertai UMNO. Dan pertemuan terakhir itu beliau masih mengutuk UMNO….
Selepas Ezam menyertai UMNO, saya tidak menjawab panggilan dan sms beliau kepada saya. Yang terakhir, beliau memaklumkan bahawa kelompok mahasiswa telah menubuhkan GERAK di peringkat mahasiswa. Malam itu beliau pohon saya hadir bersama aktivis GAMIS. Saya tolak bukan kerana beliau menyertai UMNO, tetapi saya fikir tempelak arwah Adlan Benan ada benarnya tentang Ezam. Nyata, mantan Bendahari Pemuda Keadilan yang pernah di’import’ England mewakili pasukan debat mereka itu lebih dahulu mengenal Ezam.
Tulisan ini hanya memuatkan sebahagian perkara luar yang saya himpun sepanjang saya mengenali Ezam secara terhad. Sebahagian lagi saya simpan untuk pengetahuan peribadi semata-mata.
Ezam, untuk saya, hanya seorang lagi politikus. Beliau tidak mahu memilih menjadi seorang negarawan…
No comments:
Post a Comment