SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Tuesday, August 25, 2009

SEORANG PENGANALISIS POLITIK SOKONG RADZI??

Petang tadi saya berkira-kira untuk menulis mengenai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, Mohd Radzhi Salleh yang mengumumkan keluar PKR dan menjadi ADUN Bebas.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin telah terlebih dahulu menulis mengenainya. Klik di sini untuk membaca tulisan beliau. Antara lain, Zulkifli menulis:

Saya mengambil sikap memahami tindakan YB Radzhi yang sejak daripada awal kemenangan pada 08 Mac 2008 telah membangkitkan beberapa isu yang beliau rasakan serius dan perlu tindakan segera.

Saya yakin tindakan yang diambil oleh YB Radzhi adalah atas dasar prinsip ... Saya ingin menegur rakan-rakan dalam PKR termasuk daripada Pakatan (Rakyat) supaya jangan cepat memfitnah, membuat tuduhan liar dan menuding jari.

Satu masalah serius yang difikirkan oleh YB Radzhi ialah mengenai perpecahan umat Islam dan orang Melayu di Malaysia, yang semakin ketara sejak pilihanraya 08 Mac 2008. Beliau antara orang paling sedih apabila Kerajaan PAS diugut oleh wakil tunggal DAP dalam DUN Kedah dalam isu penutupan pusat penyembelihan babi di Kg. Berjaya, Alor Setar.

Beliau sangat teringin melihat pemimpin-pemimpin Melayu Islam daripada PAS, PKR dan UMNO duduk semeja untuk mencari kata sepakat demi ukhwah Islamiyyah dan maruah agama yang makin tercabar.

Malahan beliau pernah memberitahu cita-citanya agar dapat Tuan Guru Haji Hadi, Dato' Seri Anwar duduk berbincang dan bermuzakarah bersama dengan Pak Lah (PM masa itu).
Saya berkongsi pandangan dengan Zulkifli mengenai isu ini. Tidak ramai pemimpin politik yang mahu memahami orang lain. Seringkali, pemimpin politik merasakan mereka sajalah yang betul. Orang lain semuanya salah. Bukan setakat itu, malah mereka turut mengasuh minda pengikut sedemikian; bahawa orang yang keluar dari sesebuah parti politik (tak kiralah apa nama parti itu) ialah mereka yang ada masalah dan tidak mempunyai prinsip perjuangan.

Itu cara berfikir yang destruktif.

Saya sarankan pemimpin sesebuah parti politik bermuhasabah apabila ada ADUN keluar parti. Mungkin ada perkara-perkara tertentu yang menyebabkan dia membuat keputusan tersebut. Lihatlah isu ini secara positif dan ambillah tindakan pembetulan. Cuba belajar dari kesilapan.

Dalam hal ini, saya memuji Menteri Besar Kedah Dato' Seri Azizan Abd Razak yang walaupun ternyata kecewa dengan keputusan Radzhi, namun menegaskan bahawa Radzhi masih Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sehinggalah Sultan Kedah memutuskan mengenai kedudukan beliau. Begitu juga dengan sahabat lama saya, Pengerusi PKR Kedah Ahmad Kassim yang menyifatkan peristiwa itu sebagai "hari hitam" dalam politik PKR Kedah, namun tidak mencerca Radzhi.

Akhlak sebeginilah yang akan menjadikan orang mendekati sesebuah perjuangan; bukannya dengan mencerca orang yang tidak sebulu dan membuat pelbagai tuduhan.

Sementara kita mendesak orang lain mengiktiraf prinsip perjuangan kita, maka saya fikir elok juga kita sama-sama belajar untuk mengiktiraf prinsip perjuangan orang lain.

Bukan kita seorang saja yang ada prinsip, orang lain pun ada prinsip juga!

NOBISHA(NORIZAN SHARIF)

BERPRINSIPKAH RADZI?PEJUANGKAH RADZI?HANYA ORANG LUNAS MENGENALI SIAPA RADZI SEBENARNYA.

No comments: