SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH

Monday, August 17, 2009

PERMATANG PASIR-LESEN GUAMAN TELAH DI TARIK BALIK


Seperti yang dilaporkan sebelum ini, maka sahihlah lesen peguam sivil calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri N11 Permatang Pasir, Rohaizat Othman telah dibatalkan.

Hal ini disahkan sendiri oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membuat pengakuan sekalipun lesen guaman sivil Rohaizat telah ditarik balik, ia tidak akan menjejaskan peluang Rohaizat, yang juga Setiausaha Umno Bahagian Permatang Pauh di Permatang Pasir.

"Penasihat Undang-undang Umno sudah semak dan mendapati beliau (Rohaizat) masih layak untuk bertanding sebagai calon BN di Permatang Pasir," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat operasi BN di Bukit Meraj, Jalan Permatang Pauh, di sini, Ahad.

Lamanweb Majlis Peguam Malaysia telah menyenaraikan nama beliau telah dibatalkan sebagai peguam sivil mengikut Seksyen 103D Akta Akta Profession Guaman 1976.

Rohaizat yang ketika itu seorang rakankongsi untuk sebuah syarikat guaman, syarikat ini telah dikatakan menggunakan dana anak guamannya, Koperasi Pekebun Kecil Pulau Pinang.

Calon BN tersebut telah membuat akuan secara terbuka bahawa beliau telah disenarai-hitam oleh Majlis Peguam Malaysia.

Rohaizat membuat kenyataan ini selepas mendapati ada pihak yang mendedahkan bahawa lesen guamannya telah ditarik. Rohaizat bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai pendedahan berkenaan sebaliknya menyerahkan kepada Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Hafarizam Harun.

"Saya memang seorang peguam tetapi tidak mengamalkannya sejak hampir dua tahun lalu," katanya selepas menghadiri persidangan perwakilan Umno Bahagian Permatang Pauh di sini, hari ini.

"Saya sedia berhadapan dengan tanggapan negatif pembangkang dan akan menjawab apabila tiba masanya. Bagaimanapun pada masa ini saya serahkan pada Penasihat Undang-Undang Umno, Datuk Hafarizam Harun menjelaskannya," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Rohaizat, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang Mohd Salleh Man dan Kamarul Ramizu Idris yang telah mengumumkan akan bertanding sebagai calon Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 17 Ogos sebagai hari penamaan calon dan pengundian pada 25 Ogos.

Kerusi DUN Permatang Pasir kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman daripada Pas yang meninggal dunia pada 31 Julai akibat sakit jantung.

No comments: