KAMPUNG KURA - Usaha memupuk persefahaman pelbagai kaum dilaksanakan menerusi Program Mesra yang melibatkan pemimpin masyarakat dengan sami Buddha sekitar daerah ini yang turut melibatkan ketua tertinggi Sami Buddha Baling.
Pegawai Khas (Tugas-tugas Khas) kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Ismadi Abdul Kadir berkata, matlamat utama program berkenaan adalah untuk menjalin hubungan baik ketua-ketua agama berkenaan dengan kerajaan negeri dan juga pemimpin masyarakat setempat.
Menurutnya, di pihak kerajaan, pemimpin yang hadir pada pertemuaan yang diadakan di Watt Siam Kampung Kura itu ialah Exco kerajaan Negeri, S Manikumar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau; ADUN Jeneri, Yahya Abdullah dan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa.
“Sebelum ini, belum pernah wujud hubungan secara langsung antara kerajaan negeri dengan Ketua-ketua sami di negeri ini, terutama di kawasan yang menjadi tempat tumpuan penganut Buddha yang berketurunan Siam, seperti Sik dan Baling.
“Program yang diadakan juga, menjadi perintis untuk program-program akan datang kerana melihat reaksi positif antara kedua-dua pihak, dalam membincangkan pelbagai perkara untuk kebajikan bersama,” katanya kepada Sinar Harian.
Ismadi berkata, melalui sesi dialog yang diadakan dalam program ini, secara tidak langsung akan dapat mengenal pasti keperluan kaum minoriti yang boleh dibantu oleh kerajaan negeri.
“Walaupun hubungan yang dijalinkan baru sahaja terbentuk, namun keharmonian antara kaum jelas kelihatan kerana masing-masing saling menghormati antara satu sama lain, serta mudah memberi kerjasama.
“Lawatan susulan ke watt-watt Siam di daerah lain juga akan dilaksanakan, secara berperingkat bergantung kepada keperluan antara kedua-dua pihak, bagi memastikan hubungan baik terus terjalin,” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak akan menyekat aktiviti kesenian masyarakat Siam seperti sambutan Songkran, asalkan tidak bertentangan dengan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan.
Sementara itu, Yahya berkata, beliau menyambut baik usaha untuk menyatupadukan pelbagai masyarakat di daerah ini dan berharap usaha seperti ini akan memberi manfaat kepada semua pihak.
“Pelbagai permasalahan dan keraguan tentang sesuatu perkara dapat diselesaikan dengan cara yang lebih baik, melalui perbincangan secara bersemuka dan segala tindakan akan diambil sewajarnya,” katanya.
Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Sami Siam Malaysia, Nikphon, berkata, pihaknya amat berbangga kerana nasib masyarakat Siam mendapat perhatian dan berharap perpaduan kaum akan dapat dibina dengan lebih kukuh.
No comments:
Post a Comment