Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 30 Julai sebagai tarikh untuk mendengar permohonan Umno bagi mengenepikan saman RM218 juta yang difailkan oleh syarikat pembekal barang-barang untuk pilihanraya.
Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Aziati Jaafar dalam kamarnya hari ini dan permohonan itu akan didengar oleh Hakim Datuk Azhar Mohamed.
Pada 23 Jun tahun lalu, syarikat Elegant Advisory Sdn Bhd menfail saman itu menerusi Tetuan Termizi & Co, dan menamakan bendahari ketika itu Umno Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi serta Umno sebagai defendan, lapor Bernama.
Dalam writ samannya syarikat itu menjelaskan bahawa ia membekalkan peralatan pilihanraya, pengangkutan dan penerbitan kepada Umno untuk pilihanraya ke-11pada 2004 setelah diminta oleh Abdul Azim.
Elegant Advisory mendakwa oleh kerana Abdul Azim meminta bekalan yang banyak dan permohonan dibuat dalam jangka masa singkat, syarikat itu melantik pihak ketiga (syarikat-syarikat percetakan dan pembekal lain) untuk menyediakan barangan tersebut pada masa yang ditetapkan, dan Abdul Azim tahu mengenainya.
Syarikat itu kemudiannya mengemukakan invois RM218,013,475 kepada Abdul Azim untuk pembayaran, dan pada 22 Mei 2004, satu surat dihantar kepadanya tetapi pembayaran masih tidak dibuat.
Pada 17 Julai tahun lalu, defendan diperintah oleh Mahkamah Tinggi membayar Elegant Advisory RM218 juta, serta kos dan faedah selepas defendan gagal menjawab saman.
Bagaimanapun pada 21 Januari lalu Umno berjaya mengetepikan keputusan mahkamah yang dibuat tanpa kehadirannya itu.
Elegant Advisory diwakili oleh peguam Nazruddin Abdullah, manakala Datuk Hafarizam Harun bertindak sebagai peguam defendan.
No comments:
Post a Comment