SEMARAK REFORMASI

LAGU SELOKA KEDAH


Monday, June 15, 2009

Masa depan Melayu di Alaf Baru.

Orang Melayu akan menghadapi masa-depannya di alaf baru ini laksana seekor naga kertas yang digunakan oleh orang China dalam tarian naga. Satu masa dulu, ketika Melayu dijajah oleh orang asing keadaan orang Melayu adalah laksana kuda kepang yang dipacu dan ditunggang oleh penjajahnya. Kuda kepangnya tidak bergerak ke mana-mana walaupun penunggangnya galak memacunya mengikut rentak yang dibunyikan.

Alangkah lucunya telahan ini seperti lucunya tarian naga itu sendiri kerana itu adalah tarian yang dicipta oleh orang-orang Parsi dan dipopularkan oleh orang China setelah Hang Li Po mendarat di negara itu.

Orang Melayu tidak akan kemana-mana selagi mereka tidak bersatu memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang secukupnya, yang setanding dengan apa yang dipelajari oleh orang asing. Sebenarnya nasib orang Melayu itu telah dikotak-katikkan oleh golongan manusia yang berhati syaitan yang tidak mahu majoriti Melayu menjadi satu bangsa yang berilmu dan bermaruah tinggi. Memperkayakan orang Melayu dengan ilmu pengetahuan tidak pernah menjadi agenda utama penjajah dulu dan tidak juga menjadi prioti golongan ningrat yang menjajah negara sekarang ini.

Kelemahan orang Melayu yang paling besar ialah kegagalan mereka sebagai satu kumpulan untuk menilai betapa pentingnya ilmu pengetahuan. Setiap generasi Melayu dijebak oleh satu perangkap yang memang siap sedia untuk memerangkapnya.

Bagaimana Melayu ditipu oleh bangsanya sendiri

Sudah menjadi nasib orang Melayu sentiasa ditipu oleh bangsanya sendiri. Lihat apa terjadi ketika Melayu didedahkan kepad Ilmu agama Islam. Mereka diajar menghayati Al Quran tanpa diajar untuk mempelajari Bahasa Arab. Selepas Tanah Melayu dijajah, kepincanagn ini tidak diperbaikki. Di sekolah-sekolah, Fardu Ain diberikan keutamaan sebagai mata pelajaran khas, sedangkan Fardu kifayat disampingkan sahaja.

Apabila kemerdekaan telah dicapai, apakah kepincangn dalam ajaran agama Islam itu diperbetulkan? Jawabnya tidak. Segala ajaran Islam yang dijadualkan pada anak-anak melayu merupakan fantasi orang yang diamanahkan untuk merangka jadual pelajaran itu. Ia tidak menepati aspirasi sebenar orang Melayu yang sepatutnya menjadi pakar dalam ajaran agama yang dianutinya ketika lahir. Kenapakah kepincangan ini terus berpanjangan. Kerana pemerintah UMNO tidak serius dalam ajaran itu takutkan ajaran agama Islam yang dapat dihayati dengan baik oleh golongan majoriti orang Melayu akan menggugat kedudukan mereka dan sebarang aspirasi untuk memperkokohkan dinasti keluarga mereka.

Kedurjanaan ini terserlah apabila kita lihat betapa Lembaga Tabung Haji pernah melabur dalam industri arak di India. Malah, sehingga ke hari ini para pencarum Tabung Haji tidak diberitahu betapa pelaburan membuat kaset VHS Video yang dilabur bersama sebuah syarikat Korea telah ditutup tanpa mendatangkan keuntungan. Di waktu yang sama syarikat Korea itu masih lagi mengeluarkan kaset yang serupa di kilang kepunyaan mereka sendiri.

Para pemerintah UMNO telah menipu dengan dana yang banyak yang ada dalam simpanan Tabung Haji. Cuba kita soal diri kita kenapakah tambang jemaah haji tidak pernah diturunkan? Kenapakah Tabung Haji tidak mempunyai pesawaqt udaranya sendiri utnuk menentukan tambang yang murah. Bukankah pesawat itu boleh disewakan ketika musim haji berakhir? Cukup dengan satu dua yang masih boleh digunakan untuk perjalanan umrah?

Pengurusan Lembaga Tabung Haji menjadi satu pengurusan yang merahsiakan banyak perkara. Kerana itu Pengerusi Lembaga itu adalah ipar kepada MAHFIRAUN dan menteri yang ditugaskan mengawasinya adalah seorang yang kalah dalam pemilu ke -10 dulu.

Begitulah sebenarnya nasib bangsa Melayu di alaf baru. Segala ciri perwatakan naga kertas akan menjadi lambang kehidupan orang melayu. Masyarakat Melayu pada dasarnya akan berlagak garang, berkobar-kobar semangatnya kerana semua emosi yang terserlah itu telah dipacu oleh suatu kuasa ghaib yang ada di tangan MAHAFIRAUN selagi hayat dikandung badannya. Ciri naga kertas itu jugalah yang membuatkan perjalanan ekonomi negara ini yang pada satu ketika dulu ditakrifkan sebagai sebuah negara-naga kini merudum dan bertukar menjadi ular lidi.

Ciri-ciri naga kertas itu hanya akan bertukar apabila orang Melayu berupaya mengendalikan tarian naga mengikut rentak yang dipukul oleh orang melayu sendiri. Ini bererti untuk maju ke hadapan orang Melayu harus mempunyai ilmu pengetahun yang banyak termasuk ilmu membuat naga kertas dan pengetahun memukul gendang dan rebana untuk menghayati tarian naga itu.

Antara emosi dan pengetahuan:

Walaupun pengetahun itu sudah dipelajari, orang Melayu masih perlu mengawal emosi mereka kerana tarian naga memerlukan pengawalan emosi yang amat berat sekali. Selagi orang Melayu tidak pandai mengawal emosi selagi itulah bangsa Melayu itu menjadi mangsa konspirasi bangsa asing. Cuba lihat akan keadaan pemikiran orang Melayu setelah berakhirnya pemilu ke-10 itu. Bukankah masih ramai anak-anak Melayu yang terbawa-bawa dengan semangat berkempen? Kita boleh membaca maki hamun dan carut marut yang dituliskan melalui 'posting' di setiap forum orang Melayu. Kenapakah ini? Inilah tanda-tanda betapa orang melayu tidak pandai mengawal emosi mereka.

Sesuatu bangsa yang tidak pandai mengawal emosinya akan menjadi mangsa yang dijadikan bangsa suruhan orang lain. Inilah kelemahan orang Arab yang diwarisi oleh orang Melayu. Inilah juga budaya orang Hindu-Parsi yang diwarisi oleh bangsa Melayu. Disebabkan emosi yang sentiasa tidak terkawal, orang Arab terus bertelagah di kalangan mereka sehingga membolehkan pendatang berbangsa Yahudi menjadi satu bangsa yang kuat dan disegani di dunia ini.

Pada satu ketika dulu orang Zulu merupakan satu bangsa yang pandai mengwal emosi mereka. Penjajah telah melunturkan budaya pengawalan itu dengan memperkenalkan mereka kepada minuman arak yang keras. Sehingga kini kaum Zulu mash mencari arah untuk menjadi satu bansa yang besar.

Orang China pada satu ketika dulu merupakan satu bangsa yang memang pintar mengawal emosi. Kerana itu kita lihat betapa seorang pengamal 'taichi' mampu memotong sebatang tebu dengan tangannya sedangkan tebu itu dilapik dengan dua keping tahu di bahagian hujungnya. Ketahanan emosi bangsa China itu dapat dilunturkan oleh orang putih setelah mereka dibagikan candu secara percuma di peringkat awalnya. Apabila masyarakat yang diserang dadah itu menjadi kucar kacir, orang putih pun menghantar pasukan rahibnya untuk 'menyucikan jiwa yang sengsara itu'. Sehingga kini orang China masih menjadi bangsa yang pakar dengan perniagaan naga dan tidak menjadi satu bangsa yang pandai menjajah dunia.

Sejarah penjajahan berulang lagi. Cerita lama disulam dengan irama baru dan diberi nafas rentak yang baru pula. Ia diolah untuk bersesuaian dengan peredaran zaman. Kalau orang Arab, China, India, dan Zulu boleh tumbang kerana kegagalan mereka mengawal emosi, apakah yang ada pada bangsa Melayu ayng boleh menjamin ketahanan mereka?

Selagi ilmu pengetahun belum cukup di dada, orang Melayu hanya akan menjadi satu bangsa yang mudah diperkotak-katikkan sehinggakan mampu menjadi bahan lawak jenaka jua. Betapa ramaikan orang Melayu yang sedar betapa Magellan seorang pelayar bangsa Sepanyol pernah tumbang disebabkan kegagahan seorang wira melayu bernama Lapulapu di kepulauan Bisayas?

Sejarah bangsa Melayu akan merakamkan bahawa kepincangan Bangsa Melayu untuk menjadi satu bangsa yang besar terletak kepada ketandusan orang Melayu mempunyai seorang pemimpin ulung yang dapat merobah pemikiran bangsanya. Inilah faktor penentu yang akan menjulang orang Melayu untuk maju kehadapan. Ia bukannya merupakan lompatan naga kertas yang diangkat dan dimanipulasi oleh seorang ahli kongfu yang berselindung di bawah mulut naga itu.

Keutuhan Bangsa Melayu untuk menghadapi alaf baru banyak bergantung kepada kepintaran mengawal emosi selepas berjaya menimba ilmu pengetahuan yang setara dengan bangsa yang besar dan berkuasa di dunia ini. Apabila kedua-dua jurusan ilmu itu dapat dikawal, akan muncullah nanti satu ilham betapa orang Melayu itu akan bangkit untuk melancarakan apa juga bentuk revolusi yang mampu mengangkat martabat bangsanya di persada keagungan bangsa di alaf yang mendatang.

Semangat reformasi dan gegaran laungan revolusi tidak akan membawa sebarang makna selagi bangsa Melayu itu masih berangan-angan untuk meraih kemenangan secara khayalan semata-mata.

Laksana satu tarian naga yang mempersonakan, Bangsa Melayu yang diiktiraf sebagai 'bangsa naga kertas' itu pasti dapat dijulang naik oleh bangsanya sendiri dengan syarat adanya kesedaran betapa lemahnya bangsa Melayu itu, kini. Hanya satu revolusi menimba ilmu pengetahuan dan pengawalan emosi yang akan menentukan kejayaan.

Insya Allah, ia akan berlaku juga akhirnya.

-Marhain Tua-
31.12.1999.

No comments: