Temuramah Ust. Nasharuddin bersama the Sunday Star
Akhbar the Sunday Star telah menyiarkan satu temuramah dengan Ust. Nasharuddin pada 31 Mei yang bertajuk: Cool in the face of challenge. Saya terjemahkan dua petikan dari soalan nombor 10 dan 11 yang saya fikirkan releven di sini dan memberi pendapat saya selepas setiap jawapan untuk tatapan tuan-tuan sekalian.
*************************************************************
Paul Gabriel: “Perasaan tidak puas hati yang utama terhadap diri anda nampaknya kerana sokongan kukuh anda terhadap keghairahan Presiden untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO. Adakah anda masih berpegang teguh kepada usaha yang sensitif ini?”
Ust. Nasharuddin: “Saya tetap berpegang dengannya. Kerana (berbincang dengan UMNO) selepas selesai sahaja Pilihanraya umum tahun lepas adalah keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura. Selepas Pilihan Raya, isu ini memang isu hangat dalam parti, namun ianya disahkan sekali lagi di Muktamar Ogos lalu. Apa yang ramai tak faham ialah bahawa keputusan yang diterima oleh Muktamar adalah untuk mengukuhkan Pakatan Rakyat dan ya, itulah apa sedang saya lakukan. Lihat apa yang berlaku di Kuala Terengganu dan Bukit Gantang (Pilihan raya kecil yang dimenangi oleh PAS) kami (PR) telah bersama. Tapi, pada masa yang sama, kita tidak menghentikan dialog dengan yang lain, NGO atau pertubuhan politik.
Maka, apa yang saya lakukan adalah perkara yang diluluskan oleh parti. Ianya bukan keputusan Presiden seorang. Saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya penuh yakin bahawa semua pihak harus duduk bersama dan selesaikan semua isu demi kepentingan negara. Kita tidak sepatutnya menutup pintu perundingan walaupun dengan musuh kita. Perbincangan adalah caranya untuk menyelesaikan krisis yang sedang kita hadapi. Sekiranya ini merupakan isu utama (terhadap diri saya), saya rasa saya tidak akan mendapat jumlah pencalonan yang telah saya perolehi. Saya telah mendapat pencalonan yang lebih jika dibandingkan dengan pencalonan semasa pemilihan terdahulu (2007).”
*************************************************************
Pertamanya, soalan yang diajukan pun saya tidak setuju kerana telah meletakkan ‘keghairahan’ ataupun zest bekerjasama kepada TGAHA. Sebenarnya pada pandangan saya keghairahan ini lebih di pihak ‘pembantu-pembantu’nya (meminjam istilah Nik Abduh) dan bukan TGAHA sendiri. Namun, jawapan yang diberikan oleh Ust Nasha pada saya lagi tidak menyenangkan hati.
Bila pula Majlis Syura memutuskan berbincang ke arah kerjasama dengan UMNO boleh diusahakan? Ust Nasha tidak menafikan usaha ini dilakukan, hanya menyatakan ianya diluluskan oleh Majlis Syura dan Muktamar! Perbincangan yang entah ke berapa di adakan hanya 2 hari selepas PRU ke 12. Bila pula Majlis Syura bersidang untuk meluluskannya? Dan tidak (sebelum ada yang mula mencari alasan), TGNA tidak pergi umrah pada masa itu ya, kerana baru sahaja selesai PRU ke 12.
Kedua, pada Ogos yang lepas, Hakikat sebenarnya Muktamar tidak meluluskan apa-apa usul mengusahakan kerjasama dengan UMNO/BN. Saya hadir dan saya rasa ramai yang lain hadir bersama. Mana ada? Yang diluluskan ialah usul memperkukuhkan PR! Soalannya, adakah kita memperkukuhkan PR dengan berunding/berbincang dengan UMNO/BN? Tidakkah ini satu usaha yang akan menimbulkan fitnah dan kegelisahan di kalangan rakan-rakan kita di dalam PR? Lebih-lebih lagi ianya dilakukan secara diam-diam sehingga bukan sekadar rakan PR tidak tahu, bahkan ramai pimpinan PAS sendiri pun tidak tahu! Adakah fitnah dan kegelisahan ini membawa kepada kekukuhan? Bukankah ini yang TGNA komen semasa di Ipoh sebagai dua kaki dalam dua perahu yang berbeza?
Bukti usaha mengukuhkan PR yang dikemukakan oleh Ust Nasha adalah PR kecil KT dan B.Gantang. Tempat yang PAS bertanding! Itu bukti PKR dan DAP membantu kita, bukan bukti kita sendiri yang berusaha mengukuhkan PR!
Yang ketiga, yang amat merunsingkan saya ialah keyakinan Ust Nasha terhadap kaedah perundingan yang diusahakan. Bahawa ianya adalah caranya atau ‘the way’, untuk menyelesaikan masalah kita. Saya tidak nampak proses peralihan kuasa dari BN ke PR yang ingin diusahakan beliau. Kalau begini caranya memang UMNO/BN akan terus memerintah kerana apabila mereka sudah seakan kalah KITA membelakangkan rakan PR dan mengajak BN berunding! Dengan itu KITA memberi BN senjata untuk melaga-lagakan sesama kita, melemahkan kekuatan yang kita bina selama ini dan menghulurkan leher kita untuk dipancung oleh mereka! Bila mereka kembali kuat mereka pancung kita dengan penuh kerelaan seperti dulu.
Kita perlu sedar, kita menentang UMNO/BN untuk menggantikan mereka, bukan nak berkongsi kuasa dengan mereka! Adakah kita berpegang kepada kepercayaan khurafat bahawa tiada yang boleh memerintah melainkan bersama UMNO?
Dakwah soal lain. Rundingan soal lain. Itulah yang TGNA tegaskan, Muqabalah bukan Muzakarah! Yang diluluskan oleh muktamar adalah Muqabalah! Dakwah bertujuan membawa mereka ikut kita, rundingan pula usaha membincangkan satu persepakatan baru PAS dan UMNO/BN!
*************************************************************
Paul Gabriel:“Mengapa begitu ramai pimpinan utama mendakwa mereka tidak tahu menahu tentang perbincangan dengan UMNO?”
Ust. Nasharuddin: “Itu tidak betul kerana beberapa kertas-kerja telah dibentangkan dan ianya disebut semasa retreat parti. Saya dengar orang berkata tujuan utama Presiden (Hadi) mengadakan perbincangan dengan UMNO bukan sekadar untuk berkerjasama tetapi juga untuk membawa PAS masuk BN. Ini tidak betul sama sekali dan tidak pernah merupakan agenda Presiden.”
*************************************************************
Memang ramai yang tak tahu sehingga Mahfuz Omar bermati-matian menafikan adanya pertemuan dan perbincangan dengan UMNO/BN. Kita ingat, setelah usaha 10 Mac digagalkan, ianya tamat! Malangnya ianya berterusan sehingga Pak Lah yang dedahkan bahawa sebenarnya ia berlaku. Ust Nasha kemudian mengesahkan dan Mahfuz terpaksa meminta maaf kepada semua ahli atas pembohongan yang tidak disengajakan! Takkan tuan-tuan semua lupa?
Kertas kerja apa yang dimaksudkan? Mana ada kertas kerja membincangkan kerjasama PAS-UMNO/BN! Yang ada disebut-sebut hanya soal pintu pertemuan tidak ditutup, dakwah dan sebagainya tetapi soal kerjasama PAS-UMNO? TIADA! Jangan nak palitkan PAS dengan usaha khianat kawan yang dilakukan oleh orang-orang tertentu. Ianya dilakukan tanpa pengetahuan pimpinan PAS Pusat dan mereka tidak berbohong apabila mereka menyatakan mereka tidak tahu!
Soal masuk BN dan UMNO tak pernah dilihat sebagai matlamat disebalik usaha rundingan ini. Jangan kita nak selewengkan isu dan jangan kita anggap itu sahaja yang tidak dipersetujui. Soal berpakat dengan UMNO dan BN tanpa masuk UMNO dan BN juga ditolak dengan sendirinya apabila diputuskan untuk dikukuhkan PR oleh muktamar Ogos lalu. Jangan kita bermain dengan kata-kata. Jangan kita memasang jala pada hari Jumaat kerana diharamkan bekerja pada hari Sabtu!!
Akhirnya, saya faham ada yang akan mengatakan, “ini Star dan mereka memutar belitkan kata-kata Ust Nasha.” Sejak kebelakangan ini, apabila tersiar kenyataan-kenyataan pemimpin-pemimpin tertentu yang menyulitkan, itulah hujjahnya. Tetapi yang peliknya, tiada pula usaha menafikan, memperbetulkan ataupun menyaman akhbar-akhbar ini, seolah-olah kita mempersetujui kenyataan kita diputar belitkan. Tiada juga pembetulan esoknya. Tulat keluar balik kenyataan baru.
WaLlahu ‘Alam
KHALID SAMAD
http://www.khalidsamad.com
No comments:
Post a Comment